Agrobank menerima Dana Tambahan Skim Kredit Mikro Sarawak daripada Kerajaan Negeri Sarawak.

KUALA LUMPUR – Agrobank menerima dana tambahan Skim Kredit Mikro Sarawak berjumlah RM4 juta daripada Kerajaan Negeri Sarawak.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank,Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, dana tambahan yang disalurkan oleh kerajaan negeri ini akan memberi manfaat kepada golongan B40 dan para usahawan tempatan di Sarawak dalam memperkasakan usahawan mikro dan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS).

“Agrobank bukan sahaja komited dalam memperuntukkan dana dalam sektor pertanian, malah turut menawarkan pembiayaan dalam sektor servis dan perkhidmatan terutamanya yang menyumbang kepada sistem rantaian makanan.

“Oleh itu, dana tambahan skim kredit mikro ini lebih membuka peluang kepada pemain industri pertanian, perikanan dan penternakan di Sarawak untuk menggiatkan ekonomi negara,” katanya.

Majlis penyerahan replika cek Dana Tambahan Skim Kredit Mikro Sarawak telah disempurnakan olehDatuk Seri Mohd Naroden Majais, Penasihat PKS Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) kepada Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Penyerahan tersebut disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak juga selaku Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Datuk Awang Tengah Ali Hasan.

Pihak Agrobank dan rakan strategiknya Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) telah mengadakan kolaborasi dalam membangunkan industri pertanian, penternakan dan perikanan di Sarawak.

Pada majlis yang sama, pihak Agrobank juga mengadakan simbolik penyerahan kelulusan pembiayaan kepada anak syarikat Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) bagi membiayai projek ternakan udang berskala besar dan komersial. – MalaysiaGazette