PUTRAJAYA – Sindiket pemalsuan dokumen pasport yang didalangi warga Bangladesh tumpas dengan penahaman seorang suspek bernama Ofu Bhai, 38, bersama wanita Filipina pada 10 Mei lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata, sindiket itu ditumpaskan menerusi satu operasi khas pada jam 4.14 petang melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Tangkapan ini hasil maklumat awam dan risikan selama tiga minggu.
“Hasil semakan awal mendapati dalang utama itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini, sementara perempuan Filipina itu pula telah tinggal lebih masa di negara ini,” katanya pada sidang media di sini.
Dalam serbuan itu, imigresen berjaya merampas 211 pasport termasuk 199 keping pasport Bangladesh, empat pasport India, masing-masing tiga pasport Filipina dan Myanmar, serta dua pasport Indonesia.
Sebanyak 31 helai muka depan biodata pasport, 144 keping dokumen Fomema (Foreign Worker Health Screening System-Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing), pelbagai peralatan membuat dokumen palsu dan wang tunai RM16,000 disyaki hasil bayaran khidmat pasport palsu itu turut dirampas.
Ruslin berkata, suspek menggunakan modus operandi dengan menawarkan khidmat penyediaan pasport kepada warga asing yang memiliki pasport perjalanan sah yang sudah tamat tempoh sah laku.
“Sindiket ini menggunakan pasport tulen yang tamat tempoh dengan meminda maklumat pada biodata serta keseluruhan helaian dalaman pasport dengan maklumat palsu iaitu menampal tarikh luput atau tempoh sah laku baharu (palsu) pada pasport itu.
“Sindiket ini mensasarkan warga Bangladesh yang memiliki pasport tulen tamat tempoh dengan mengenakan bayaran RM1,000 hingga RM1,500 setiap satu serta menggunakan maklumat palsu pasport untuk mendapatkan kelulusan Fomema dengan caj asing berjumlah minimum RM600 hingga RM1,000 setiap dokumen,” ujarnya lagi.
Menurutnya, sindiket ini dipercayai beroperasi sejak dua tahun lalu di Kajang, menawarkan khidmat tersebut kepada pekerja asing Bangladesh.
Tegas Ruslin, segala transaksi bayaran untuk khidmat pemalsuan dokumen itu diuruskan menerusi atas talian dan tidak menerima tunai bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.
“Siasatan terperinci juga mendapati sindiket ini menggunakan cecair minyak pemetik api untuk menanggalkan pelekat tulen biodata pasport sebelum menggantikannya dengan menampal maklumat palsu dalam pasport itu.
“Kita juga mendapati sindiket itu tidak kekal di satu tempat sebaliknya berpindah-randah dari satu tempat ke tempat lain elak dihidu pihak berkuasa dan percaya masih terdapat saki baki rangkaian sindiket ini dan siasatan diteruskan untuk menjejakinya,” ujarnya.
Kedua-dua suspek direman selama 14 hari di depoh Imigresen Putrajaya untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63, iaitu memalsukan, membuat atau meminda pengendorsan atau suatu dokumen digunakan sebagai visa, permit, Pas atau Kelayakan.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda minimum RM30,000 dan penjara maksimum 10 tahun dan enam sebatan selain di Bawah Seksyen 12(1)(a)Akta Pasport 1966 iaitu memalsukan, mengubah atau mengusik pasport atau dokumen perjalanan yang boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda minimum RM10,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahannya, tegas Ruslin. – MalaysiaGazette