PUTRAJAYA – Permohonan bekas Peguam Negara (AG) Tan Sri Mohamad Apandi Ali untuk mendapatkan kebenaran meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak saman RM10 juta terhadap Tan Sri Lim Kit Siang ditolak Mahkamah Persekutuan hari ini.
Tiga panel hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan Apandi.
Panel hakim mendapati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak saman itu sebelum ini berpandukan bukti dan undang-undang.
“Tidak ada keperluan untuk hujahan lanjut di Mahkamah Persekutuan,” katanya pada prosiding hari ini.
Turut bersidang bersama ialah Datuk P Nallini dan Datuk Abu Bakar Jais.
Mohamed Apandi memfailkan permohonan itu pada 1 Disember tahun lalu apabila gagal dalam rayuannya yang telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 2 November tahun sebelumnya.
Beliau mahu Mahkamah Persekutuan membuat ketetapan mengenai lima persoalan undang-undang.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman RM10 juta Apandi berhubung tulisan Lim yang disiarkan Malaysiakini pada 2019 bertajuk Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity.
Kes itu kemudian dibawa ke Mahkamah Rayuan dan namun hakim memutuskan untuk mengekalkan keputusan mahkamah tinggi dengan menyatakan bahawa kenyataan Kit Siang dilindungi oleh justifikasi dan perlindungan bersyarat.
Menurut Apandi tulisan Lim itu antara lain membayangkan bahawa dia terlibat dalam skandal 1MDB, tidak bermoral dan tidak berintegriti, tidak beretika, dan menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi peguam negara antara 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018.
Samannya terhadap Kit Siang berhubung artikel mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd (IMDB), Apandi mendakwa pada 6 Mei 2019, Kit Siang telah menulis dan menyebabkan terbitnya artikel bertajuk “Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity” di portal itu.
Mohamed Apandi mendakwa, kata-kata fitnah dalam artikel itu membayangkan bahawa beliau terlibat dengan jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang yang tidak bermoral dan berintegriti, tidak beretika dan telah menyalahgunakan kuasanya semasa menjadi Peguam Negara.
Untuk makluman, Mohamed Apandi merupakan Peguam Negara dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018 ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri.
Mohamed Apandi diwakili peguam Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam, manakala Sangeet Kaur Deo peguam mewakili Kit Siang. -MalaysiaGazette
















