Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman dalam Majlis Perasmian Pameran Memperingati Sudirman: Penghibur Legenda di Muzium Warisan Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

SERDANG – Allahyarham Sudirman merupakan tokoh seni yang legasi ditinggalkannya perlu diuar-uarkan supaya tidak mati ditelan dek zaman, kata Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman.

Lantaran itu, Allahyarham Sudirman wajar dijadikan tokoh yang baik kepada orang ramai kerana kebolehannya mengimbangkan kerjayanya sebagai seorang peguam, kartunis, usahawan dan penyanyi.

“Kalau kita lihat, mesej yang disampaikan oleh Sudirman dalam semua karyanya seperti lagu-lagu perlu dikaji masyarakat kerana mempunyai isi tersirat yang boleh diambil iktibarnya.

“Arkib akan sentiasa memberi sokongan dan ruang untuk bekerjasama dengan pihak muzium yang mahu menguar-uarkan maklumat berkaitan tokoh untuk membentuk jati diri dan identiti bangsa,” katanya ketika hadir melancarkan Pameran Memperingati Sudirman: Penghibur Legenda Negara sempena hari kelahiran Allahyarham Datuk Sudirman 25 Mei ini.

Jaafar berkata, pameran yang diadakan dengan kerjasama Arkib Negara dan Muzium Warisan Melayu UPM ini diharapkan dapat mewujufkan masyarakat berjati diri serta menghargai budaya tanpa mengira bangsa terutamanya ke arah penyatuan Keluarga Malaysia.

Sepanjang pameran itu berlangsung, pengunjung berpeluang memenangi hadiah menarik, di samping ‘mencuci mata’ dengan cenderamata yang membawa sentimental Sudirman.

Pameran Memperingati Sudirman: Penghibur Legenda ini diadakan Muzium Warisan Melayu UPM bermula 2 Mei hingga 31 Mei ini.- MalaysiaGazette