PUTRAJAYA – Bagi mengurangkan peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan rakyat negara ini, Kementerian Kesihatan (KKM) akan melancarkan ‘perang’ terhadap gula.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, usaha perang ini akan dilakukan dengan memberi penarafan kepada minuman berdasarkan kandungan gulanya.
“Menteri akan segera memperkenalkan sistem penarafan minuman manis berdasarkan jumlah gula yang terdapat dalam minuman tersebut.
“Ini sama seperti di negara jiran kita di seberang, di mana kandungan gula dalam minuman diberikan penarafan A, B, C, atau D,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri program e-Findings National Health & Morbidity Survey (NHMS) 2023: Non-Communicable Diseases & Healthcare Demand and Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2023 di KKM, hari ini.
Bagaimanapun, Dzulkefly tidak menyebut tempoh pelaksanaan tindakan itu.
Beliau memberi contoh, Singapura melaksanakan label pemakanan wajib yang dipanggil “Nutri-Grade” bagi menilai minuman berdasarkan kandungan gula.
Pada 1 Julai 2019, Malaysia telah mengenakan duti ekais sebanyak 40 sen bagi setiap liter minuman manis yang mengandungi lebih daripada 5g gula atau pemanis berdasarkan gula setiap 100ml.
Dzulkefly berkata, langkah-langkah ini penting walaupun laporan menunjukkan penurunan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi, dan kolesterol tinggi di kalangan rakyat Malaysia sejak tahun 2019.
Berdasarkan laporan Survei Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi (NHMS) 2023, prevalens diabetes telah berkurang sebanyak 2.7 peratus antara tahun 2019 hingga 2023 manakala hipertensi menurun sebanyak 0.8 peratus dan kolesterol tinggi berkurang sebanyak 4.8 peratus dalam tempoh yang sama.
Dzulkefly bagaimanapun menyatakan data dari NHMS 2023 menunjukkan bahawa setiap dua dari seorang rakyat Malaysia mengalami berat badan berlebihan.
“Individu yang mengalami obesiti dan berat badan berlebihan berisiko menghidap diabetes jenis dua dan juga berisiko tinggi terhadap kanser dan penyakit hati berlemak.
“Oleh itu, perang gula adalah berkaitan dengan mengurangkan kes diabetes dan penyakit tidak berjangkit lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette