Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR- Kerajaan menyediakan pakej langganan Internet jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi untuk sekolah seluruh negara bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bermula pada 1 Julai ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pakej khas melalui pelaksanaan projek Point of Presence (PoP) akan menawarkan internet berkelajuan tinggi yang lebih stabil berbanding talian mudah alih dengan harga yang lebih murah.

Menurutnya, sebanyak 437,000 premis akan tersedia dengan perkhidmatan infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi apabila projek PoP siap.

“Manfaat ini diperoleh melalui pelaksanaan PoP Fasa 1 dengan perancangan 630 PoP dan PoP Fasa 2 dengan perancangan 3,693 PoP.

“Hingga Mei 2024, sebanyak 1,044 PoP daripada 4,370 PoP telah disiapkan. Sebanyak 59 PoP telah berjaya disiapkan sepenuhnya di Sabah,” katanya dalam ucapan sempena Tinjauan Projek PoP Zon Sabah.

Majlis berlangsung di Sekolah Kebangsaan Balimbang, Pulau Bum Bum, Sabah anjuran Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Telekom Malaysia (TM).

Inisiatif PoP merupakan komitmen kerajaan dalam menggalakkan penggunaan teknologi digital kepada seluruh rakyat tanpa mengira di bandar atau luar bandar.

Usaha tersebut dapat mempersiapkan rakyat dengan kemahiran digital bagi merapatkan jurang digitalisasi dan memperkasakan infrastruktur telekomunikasi negara.

Melalui pelaksanaan projek PoP, sekolah luar bandar dan pedalaman dijadikan sebagai hab penyediaan infrastruktur jalur lebar gentian optik.

Sokongan infrastruktur jalur lebar gentian optik berkelajuan tinggi akan dapat meningkatkan proses pembelajaran di sekolah dengan lebih efektif melalui capaian kepada maklumat dan sumber rujukan yang luas.

“Selain itu, inisiatif ini juga akan memberi peluang kepada peningkatan ekonomi digital bagi masyarakat luar bandar. Pelbagai urusan termasuk perniagaan di rumah secara dalam talian boleh dilaksanakan dengan adanya capaian rangkaian Internet yang lebih stabil, berkualiti dan menyeluruh.

“Kelajuan perkhidmatan Internet yang disediakan akan menjadi penanda aras bagi penggunaan teknologi moden yang berkaitan dengan infrastruktur serta utiliti, contohnya Internet of Things (IoT), Artificial Intelligence (AI), Smart Grid, Smart Water dan lain-lain yang dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat,” jelasnya.- MalaysiaGazette