KUALA LUMPUR – Terdapat kemungkinan setakat ini untuk Amerika Syarikat (AS) mengurangkan tarif timbal balik yang dikenakan ke atas Malaysia, kata Perdana Menteri.
Bagaimanapun, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan itu masih peringkat awal tanpa persetujuan dimuktamadkan, namun perbincangan lanjut antara kedua-dua negara sedang berjalan.
Menurut beliau, perkembangan positif itu dicapai hasil mesyuarat antara delegasi Malaysia dalam Lawatan Kerja ke Washington, AS yang diketuai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada 22 hingga 24 April lalu.
Malah, kata beliau, Malaysia merupakan antara 18 buah negara yang setakat ini berjaya mengadakan mesyuarat dengan Kerajaan AS dan menyifatkan pertemuan itu berkesan dan diberi layanan dengan cepat meskipun berlangsung dalam tempoh pendek.
“Setakat ini, tawaran Malaysia kepada AS termasuklah menangani Halangan Bukan Tarif yang disenaraikan dalam National Trade Estimates Report 2025 yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat baru-baru ini.
“Hasil mesyuarat bersama-sama TYT Ambassador Jamieson Greer, United States Trade Representative dan TYT Howard Lutnick, Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat, kita telah menerima maklum balas positif daripada Kerajaan Amerika Syarikat.
“Jemaah Menteri dan NGCC (Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional) telah bersetuju supaya MITI memulakan proses rundingan dengan Amerika Syarikat,” katanya dalam sidang khas berhubung tarif timbal balik AS ke atas Malaysia di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, menurut Anwar, di peringkat ASEAN selaku Pengerusi rantau itu, negara-negara anggota menyatakan dukungan penuh kepada Malaysia untuk membentuk suara kolektif dan kebersamaan Asean sebagai sebuah blok ekonomi yang besar dalam mengadakan rundingan bersama AS.
Jelas beliau, ASEAN meliputi kekuatan ekonomi berjumlah AS$4 trilion pada tahun 2024 dengan jumlah penduduk mencecah seramai 640 juta orang.
Sehubungan itu, ujarnya, sebarang pendirian terhadap tarif AS perlu diambil secara bersama sebagai sebuah blok Asean yang menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan strategik negara-negara anggota.
Pada 2 April lalu, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan kenaikan tarif timbal balik ke atas eksport barangan lebih 75 buah negara termasuk Malaysia yang dikenakan sebanyak 24 peratus.
Bagaimanapun, seminggu kemudian, pentadbiran AS mengumumkan penangguhan 90 hari bagi tarif timbal balik individu bagi kebanyakan negara namun mengekalkan tarif asas sebanyak 10 peratus.
Keputusan itu dibuat untuk memudahkan rundingan dengan lebih 75 negara yang telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap tarif mengejut itu.
Sementara itu, pentadbiran AS telah mengenakan duti tambahan ke atas import China, menaikkan jumlah kadar tarif ke atas barangan berasal dari China kepada 145 peratus.
Sehubungan itu, Anwar mengesahkan satu sidang khas Parlimen diadakan hari ini bagi membahaskan isu tersebut.
Ia selaras Peraturan Mesyuarat 11(3) Peraturan-Perturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membolehkan isu-isu semasa yang mendesak dan memberi manfaat kepada rakyat dibincangkan. – MalaysiaGazette















