Lapan PATI warga Bangladesh termasuk seorang transporter diberkas dalam serbuan 16 Mei lalu di ibu negara oleh JIM. Gambar ihsan JIM Putrajaya.

PUTRAJAYA – Satu sindiket menjanjikan pekerjaan dan menyeludup warga Bangladesh dari Vietnam melalui darat sebelum dibawa masuk menaiki bot dari Thailand ke Kelantan berjaya dilumpuhkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada 16 Mei lalu.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, seramai tujuh individu terdiri daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh yang dibawa masuk secara haram ke negara ini diberkas dalam satu operasi khas di sebuah kediaman di Jalan Sultan Ismail di sini.

Sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya telah melaksanakan operasi itu bermula pada 7.02 malam pada Khamis lalu.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, pasukan operasi telah diatur gerak ke premis kediaman dan bertembung dengan sebuah kenderaan Perodua Myvi yang dipandu oleh suspek secara mencurigakan di lot parkir premis tersebut.

“Suspek yang memandu kenderaan tersebut mula memecut setelah menyedari kehadiran pasukan operasi tetapi berjaya dipintas sebelum hasil pemeriksaan, pasukan operasi telah menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh yang disyaki memainkan peranana sebagai transporter berusia lingkungan 33 tahun bersama dua orang PATI lelaki warga Bangladesh.

“Pasukan operasi telah menyerbu dan memeriksa premis kediaman sebelum berjaya menahan seramai lima orang PATI lelaki warga Bangladesh yang kesemuanya berusia lingkungan 21 higga 38 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Salah seorang suspek Bangladesh yang berperanan sebagai transporter menyeludup masuk PATI Bangladesh ke ibu negara ditumpaskan dalam serbuan JIM di ibu negara 16 Mei lalu.Ihsan JIM PUtrajaya.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, kesemua warganegara asing yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini.

Justeru pasukan operasi menerusi pemeriksaan lanjut turut berjaya merampas 10 naskhah pasport Bangladesh, tiga unit telefon bimbit, wang tunai sebanyak RM500 dan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipercayai digunakan sebagai kenderaan menyeludup masuk PATI ke dalam negara ini.

“Siasatan kami mendapati sindiket itu menggunakan modus operandi dengan membawa PATI terutamanya warga Bangladesh yang ingin mencari peluang pekerjaan secara haram di negara ini dengan menaiki pesawat dari Bangladesh ke Vietnam dan dari Vietnam, PATI akan dibawa menaiki kereta ke Thailand.

“Seterusnya, PATI dibawa menaiki bot dari Thailand untuk ke Kelantan sebelum transporter Bangladesh itu akan membawa PATI ke premis kediaman di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur dengan menaiki kereta.

“Kemudian PATI akan dihantar ke lokasi yang dipilih sendiri setelah selesai membuat bayaran kepada ejen warganegara Bangladesh yang berada di Malaysia,” katanya lagi.

Tegas Ruslin, hasil siasatan awal Imigresen mendapati, sindiket mengenakan bayaran sebanyak RM13,000 hingga RM21,000 bagi setiap seorang PATI dan telah beroperasi secara aktif selama dua bulan dalam kegiatan itu.

Beliau turut memaklumkan transporter yang ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di Bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 manakala warganegara asing yang lain ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Kesemua PATI itu kini ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut JIM komited untuk membanteras sindiket penyeludupan manusia dalam menguatkuasakan undang-undang demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette