Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan.

KUALA LUMPUR – Cadangan Majlis Penasihat India Selangor (SICC) untuk mewujudkan satu jawatankuasa memantau pelaksanaan semua perancangan dan program masyarakat India tidak dipersetujui.

Sebaliknya, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan, adalah lebih baik untuk membiarkan sahaja pihak yang diberikan amanah itu andai ia dijalankan dengan baik.

Jelasnya, kerajaan kini sudah mempunyai banyak jawatankuasa dan isu tersebut tidak akan berbangkit jika dibuat dengan baik.

“Ingat ya, ini pandangan peribadi saya. Kita sebenarnya sudah ada banyak jawatankuasa jadi tidak perlu untuk tubuhkan jawatankuasa lagi.

“Buat masa sekarang sudah ada pasukan dan rangkaian untuk mereka realisasikan visi misi itu. Jadi ikut sahaja yang sedia ada. Masalahnya sekarang semua orang hendak duduk di satu tempat untuk laksanakan satu tugas, sebagai contoj, 10 orang lakukan tugas sama.

“A cakap pergi ke kanan, B pula cakap ke kiri, akhirnya kita tengok mereka sampai ke bulan apa pun tak jadi,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi SICC, Charles Santiago berkata, jawatankuasa itu boleh diletakkan di bawah Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk memantau peruntukan pembangunan masyarakat India yang disalurkan kepada agensi seperti Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun). -MalaysiaGazette