KUALA LUMPUR – Momentum positif Bursa Malaysia dijangka memacu indeks petunjuk pasaran ke arah paras rintangan seterusnya pada 1,620 minggu depan dan sekiranya paras ini dilepasi kemungkinan besar pergerakan meningkat seterusnya akan berlaku.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangka indeks itu berlegar dalam jajaran 1,605-1,635 pada minggu depan apabila aktiviti pengambilan untung dijangka berlaku pada awal minggu.
“Pasaran disokong oleh pembelian asing apabila dana global kembali ke rantau ini. Mungkin akan berlaku beberapa pengambilan untung, tetapi dalam jangka panjang, indeks kekal dalam aliran menaik,” katanya kepada Bernama.
Selain data ekonomi domestik yang positif, sentimen dalam pasaran ekuiti turut disokong oleh keyakinan penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) tahun ini dan beberapa langkah ekonomi yang diumumkan oleh China.
Namun begitu, beliau menjangkakan pasaran akan terus memantau rapat laporan tuntutan pengangguran AS, jualan rumah baharu, serta Indeks Pengurus Pembelian (PMI) perkhidmatan dan perkhidmatan Pembelian S&P Global Flash AS dan zon Eropah bagi mencari hala tuju pada minggu depan.
Pada Jumaat, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang lebih tinggi sebanyak 4.2 peratus pada Suku Pertama 2024.
Sementara itu, ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata pelaburan swasta terus menjadi penyumbang utama kepada KDNK pada Suku Pertama 2024 dengan pergerakan ketara telahpun dilihat pada Suku Keempat 2023.
Beliau berkata sektor pembuatan juga mencatatkan peningkatan secara perlahan-lahan sejak Oktober lepas walaupun PMI Malaysia kekal di bawah 50.
Bagi minggu yang baru berakhir ini, Bursa Malaysia ditutup kebanyakannya tinggi kecuali pada Rabu apabila para pelabur mengambil pendekatan berhati-hati ketika mereka menunggu pengumuman data indeks harga pengguna (IHP) AS.
Pasaran kemudiannya melantun semula dengan kukuh dan ditutup kepada 1,616.62, melonjak 15.95 mata daripada paras penutup 1,600.67 pada minggu sebelumnya.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 221.50 mata kepada 12,308.18, Indeks FBM 70 naik 680.69 mata kepada 17,641.06 dan Indeks FBMT 100 menokok 208.84 mata kepada 11,906.01.
Indeks FBM Emas Shariah meningkat 237.66 mata kepada 12,522.21 dan Indeks FBM ACE naik 184.47 mata kepada 5,351.22.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 122.84 mata kepada 17,645.61, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.55 mata kepada 194.84, Indeks Tenaga menokok 0.79 mata kepada 985.95, manakala Indeks Perladangan susut 37.65 mata kepada 7,386.78,
Jumlah dagangan meningkat kepada 28.69 bilion unit bernilai RM19.76 bilion daripada 24.57 bilion unit bernilai RM16.89 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 17.06 bilion saham bernilai RM17.24 bilion daripada 14.76 bilion saham bernilai RM14.65 bilion.
Jumlah dagangan waran naik kepada 6.20 bilion unit bernilai RM908.91 juta daripada 4.79 bilion unit bernilai RM709.51 juta.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 5.42 bilion saham bernilai RM1.61 bilion daripada 4.99 bilion saham bernilai RM1.52 bilion. – BERNAMA
















