Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu (KTM) perlu memberi penjelasan segera berhubung parti liar yang diadakan di dalam gerabak syarikat berkenaan.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, KTM sebagai peneraju perkhidmatan keretapi negara sepatutnya cakca dengan meletakkan syarat syarat yang ketat demi tidak mencemarkan imej dan nama KTM sendiri.

“Sangat mengecewakan ialah apabila nama sahaja Kereta Api Tanah Melayu, tapi membenarkan parti liar yang penuh dengan arak dan perkara perkara yang tidak senonoh. Apakah mesej yang KTM cuba sampaikan kepada rakyat? Bahawa kami sudah tidak melayu?

“Apatah lagi tindakan membenarkan ini sangat sangat tidak selari dengan Malaysia yang terkenal dengan budaya sopan dan ketimuran ini. Kita ialah sebuah negara Islam yang majoritinya orang Melayu. Tolong hormat budaya dan adat resam kita,” kata Shaiful Hazizy dalam satu kenyataan, hari ini.

Shaiful Hazizy berkata, penganjuran parti berkenaan juga langsung tidak sinonim dengan budaya dan adat rakyat Malaysia.

“Parti ‘Pinkesh’ yang diadakan itu secara terang-terangan menunjukkan tetamu-tetamu yang hadir dihidangkan dengan air minuman keras.

“Sekalipun KTM memang sudah membenarkan penyewaan koc-koc KTM untuk tujuan peribadi, tetapi KTM perlulah meletakkan syarat syarat yang ketat demi tidak mencemarkan imej dan nama KTM sendiri,” ujar beliau.

Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan parti liar yang diadakan di dalam gerabak KTM di media sosial dengan lokasinya dipercayai di Kuala Lumpur.

Beberapa portal hiburan menulis ia adalah festival pertama di dalam keretapi diadakan di Asia Tenggara bagi menyambut ulang tahun ‘Pinkfish festival’.

Rata-rata netizen terkejut kerana boleh disewa khidmat KTM pada waktu malam dan mempersoalkan kaedah yang membenarkan ia diguna untuk tujuan mengaut keuntungan dan sebagainya. – MalaysiaGazette