Ustaz, Datuk Kazim Elias merasmikan Pelancaran Set Khas Pengurusan Jenazah di Bangi, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 22 MEI 2024

BANGI – Jenazah bukan untuk ditakuti seperti mana persepsi negatif yang sering menjadi bahan percakapan masyarakat.

Sebaliknya, kata pendakwah popular, Datuk Kazim Elias, jenazah perlu dikasihi dengan diuruskan secepat pengebumiannya oleh waris terdekat.

Jelas beliau, satu ketika dahulu, selagi tidak datang orang yang arif datang menguruskan jenazah, ahli keluarga tidak berani untuk berbuat apa-apa.

Malah, katanya, ada yang sanggup ‘berlari’ ke surau berdekatan untuk meminta pertolongan dan meminjam peralatan seperti sejadah.

“Dahulu hendak urus jenazah ambil masa lambat sebab ada barang yang perlu dijahit seperti sarung bantal. Selain itu, kalau tiada siapa yang datang, ada ahli keluarga tidak berani mandikan jenazah.

“Jadi setiap rumah hari ini perlu ada set pengurusan jenazah dan tidak perlu lagi ke kedai runcit dan serbaneka untuk beli barang seperti bunga mawar dan kapur barus,” katanya pada majlis pelancaran set khas pengurusan jenazah edisi Datuk Ustaz Kazim Elias di sini hari ini.

Ustaz, Datuk Kazim Elias bercakap pada Sidang Media ketika di Majlis Pelancaran Set Khas Pengurusan Jenazah di Bangi, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 22 MEI 2024

Mengulas lanjut, Kazim menambah, pendidikan untuk menguruskan jenazah perlu diperluaskan dengan mengadakan kursus percuma kepada masyarakat.

Kata beliau, usaha fardu kifayah itu penting apabila seseorang itu meninggal, anaknya atau waris terdekat boleh menguruskan jenazah dengan sempurna dan lancar.

Sementara itu, Set Kain Kafan Edisi Dato’ Kazim Elias: Satu Rumah Satu Keperluan itu dikeluarkan dengan kerjasama KAF Digital Media.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Sani berkata, pihaknya mendapat inspirasi untuk memperluaskan produk jualannya selepas menyedari kurangnya pendedahan tentang kepentingan penyediaan awal set pengurusan jenazah di setiap rumah.

“Setiap yang hidup pasti akan merasai mati tetapi sejauh mana persediaan kita yang masih hidup ini dalam menghadapinya. Menjadi kewajipan setiap umat Islam untuk melengkapkan dir dengan ilmu dan keperluan dalam menjalankan tanggungjawab fardu kifayah ini.

“Membawa cogan kata ‘Satu rumah, Satu keperluan’, KAF Digital Media komited memupuk inisiatif masyarakat terutamanya yang beragama Islam supaya menyediakan set kelengkapan pengurusan jenazah di setiap rumah,” katanya.

Ustaz, Datuk Kazim Elias merasmikan Pelancaran Set Khas Pengurusan Jenazah di Bangi, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 22 MEI 2024

Buat permulaan, sebanyak 1,500 Set Lengkap Pengurusan Jenazah edisi Dato’ Mohammad Kazim Elias bakal berada di pasaran bermula hari ini.

Menariknya, set ini didatangi lengkap dengan 22 jenis item antaranya jubah, telekung, sabun bidara, kain kafan, kapur barus dan pelbagai lagi dan ia juga boleh digunakan untuk jenazah lelaki dan wanita.

Harga bagi setiap set hanya RM249 dan pembelian boleh dibuat secara dalam talian di www.kafanmalaysia.com atau penghantaran hanya di sekitar Lembah Klang.

Selain Khairul, KAF Digital Media ditubuhkan pada tahun lalu dan diasaskan oleh tiga lagi pengarahnya, Anas Abd Rahman, Ahmad Fawzan dan Khairul Manaf di mana setiap pengeluaran set itu dikeluarkan sendiri dari kilang milik KAF Digital Media yang terletak di Desa Coalfields, Sungai Buloh. – MalaysiaGazette