Thursday, September 12, 2024
Home Dunia WHO gesa Israel tarik balik sekatan bantuan ke Gaza

WHO gesa Israel tarik balik sekatan bantuan ke Gaza

Tedros Adhanom Ghebreyesus.

LONDON – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa agar Israel menarik balik sekatan bantuan ke Gaza.

Ketua pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, amaran itu diberikan kerana saluran utama untuk bantuan perubatan ke sebahagian wilayah dari Mesir telah terputus.

Sejak 7 Mei lalu, Israel merampas dan menutup sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir yang menyebabkan laluan penting untuk orang ramai dan bantuan masuk dan keluar dari kawasan tersebut terganggu

Tedros berkata, penduduk Gaza ketika ini menghadapi kebuluran dan WHO menggesa Israel menarik balik sekatan dan membenarkan bantuan melaluinya.

Beliau turut menggambarkan keadaan di Palestin sebagai keterlaluan dan malapetaka di mana tanpa aliran bantuan ke Gaza, pihaknya tidak dapat mengekalkan sokongan menyelamatkan nyawa untuk hospital dan rakyat Palestin.

Selain itu, Tedros berkata, tindakan Israel telah menjejaskan enam hospital dan sembilan pusat kesihatan utama dan menyebabkan 70 pusat perlindungan kehilangan kemudahan perubatan mereka.

Sistem penjagaan kesihatan Gaza pada dasarnya telah runtuh sejak Israel memulakan serangan tenteranya pada 7 Oktober.

Dalam pada itu, Hospital Al-Awda Gaza di utara kekal dalam kepungan sejak Ahad lalu dengan 148 kakitangan hospital dan 22 pesakit serta orang ramai yang mengiringi mereka terperangkap. – Agensi