Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Syarikat dana strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah menyaman  Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) Petrosaudi International Ltd selain menuntut supaya dana berjumlah AS$1.83 bilion (RM8.6b) yang dilaburkan dipulangkan kembali.

Untuk makluman, dana berkenaan merupakan hasil kerjasama 1MDB sekitar tahun 2009 dengan Petrosaudi yang merupakan sebuah syarikat pengeluaran minyak Saudi.

Media melaporkan saman yang telah dikemukakan 1MDB awal bulan ini telah menamakan Patrick Andrew Marc Mahony dan White & Case LLP sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam tuntutan, 1MDB memohon pengisyitiharan Mahony dan White & Case bertanggungjawab sebagai pemegang amanah dan membayar jumlah itu kepada mereka atau diberikan pilihan jumlah lain ditentukan oleh mahkamah.

1MDB turut menuntut ganti rugi AS$1.83 bilion, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Ketika ini, Mahony dan Ketua Eksekutif Petrosaudi, Tarek Obaid sedang berdepan bicara di Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland kerana dituduh terbabit dalam penyelewengan besar-besaran yang didalangi ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Kedua-dua mereka didakwa telah memperkaya diri mereka sendiri dan serta pihak lain dengan menyalahgunakan dana dipindahkan oleh 1MDB dalam usaha sama dengan syarikat cari gali Arab Saudi dan pengeluaran minyak itu. – MalaysiaGazette