Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas Sesi Penyerahan Fleet Card SKDS 2.0 di Kawasan Rehat Klang Utara, Lebuhraya Baru Selat Klang Utara, hari ini.

KLANG – Sebanyak 28,000 syarikat pengangkutan darat telah mendaftar dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 sehingga 22 Mei ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, daripada jumlah itu, hampir 90,000 fleet card telah dikeluarkan oleh lima syarikat minyak utama kepada syarikat-syarikat pengangkutan yang layak sejak KPDN membuat pengumuman pada 7 Mac lalu.

“Alhamdulillah sejak kita mengumumkan SKDS pada Mac lepas, dengan perluasan SKDS 2.0 dan sehingga semalam, pendaftaran dan kelulusan skim ini mencecah 28,000 syarikat melibatkan pengeluaran 90,000 fleet card setakat ini.

“Ini menunjukkan kesiapsiagaan kita, fleet card yang disediakan syarikat minyak dan beberapa contoh jenis pengangkutan darat barangan yang terlibat dalam SKDS 2.0

“Saya mengucapkan terima kasih kepada beberapa syarikat minyak dengan kerjasama dan komitmen tinggi membantu kerajaan dalam perluasan SKDS 2.0 dan penyediaan fleet card dengan jumlah banyak dalam tempoh yang singkat,” katanya pada sidang media di Kawasan Rehat Klang Utara, Lebuhraya Baru Selat Klang Utara, di sini, hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menyerahkan fleet card kepada wakil syarikat pengangkutan awam darat pada Sesi Penyerahan Fleet Card SKDS 2.0 di Kawasan Rehat Klang Utara, Lebuhraya Baru Selat Klang Utara, hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Sesi Penyerahan Fleet Card SKDS 2.0 kepada 15 syarikat pengangkutan darat bersama wakil syarikat minyak melibatkan pelbagai jenis kenderaan seperti Lori Rigid-Kargo Am, Lori Rigid Luton/Kotak, Panel Van, Lori Rigid Refrigerated dan Penggerak Utama.

Menurut beliau, perluasan SKDS 2.0 kini melibatkan 23 jenis kenderaan pengangkutan awam darat berbanding 19 jenis sejak ia mula diperkenalkan pada Mac lalu.

“Perluasan SKDS 2.0 Fasa II melibatkan tambahan 14 jenis kenderaan barangan lain yang meliputi Lori Rigid-Curtainsider, Lori Rigid-Hasil Pertanian, Lori Rigid – Kandang Haiwan, Lori Rigid-Kombinasi, Lori Rigid-Open Platform, Bas Food Catering, Van Food Catering, Lori Food Catering, Lori Tangki Rigid-Minuman, Semi-Panel Van, Bas Perkhidmatan Bergerak, Van Perkhidmatan Bergerak, Lori Rigid-Perkhidmatan Bergerak dan Lori Rigid-Sampah.

“Pertambahan dalam fasa II ini menjadikan keseluruhan kenderaan barangan yang layak untuk mendapatkan diesel bersubsidi di bawah SKDS 2.0 adalah sebanyak 23 jenis kenderaan barangan,” katanya. – MalaysiaGazette