Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim

KUALA LUMPUR – Siasatan polis mendapati dua lelaki terlibat memecah masuk rumah pemain Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 11.30 malam yang dilakukan pemain itu.

“Siasatan mendapati suspek dipercayai menggunakan kenderaan jenis MPV (kenderaan pelbagai guna) warna putih dan melarikan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15R seperti mana diviralkan.

“Waktu balik seorang bawa motosikal dan seorang lagi bawa MPV,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan tular gambar kenderaan polis berada di hadapan sebuah rumah pemain bola sepak itu di laman media sosial.

Menerusi perkongsian di laman Instagramnya hari ini, Ahmad Khuzaimi berkata, kejadian tersebut menyebabkan sebuah motosikal hilang manakala beberapa beg silang serta pasport turut ‘lesap’.

Menurut Mohd. Iqbal, suspek turut mengambil empat beg berjenama dan semasa kejadian Ahmad Khuzaimi dan ahli keluarga tiada dirumah.

Tambah beliau, pemain tersebut dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM15,000 dan kini polis giat menjejaki dua suspek itu.

Mohd. Iqbak berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 14 tahun dan dikenakan denda.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Laymand Rayne di talian 014-6907071. – MalaysiaGazdette