Allahyarhamah Sarjan Faridah Abd Rahman

KUALA LUMPUR – Allahyarhamah Sarjan Faridah Abd Rahman disahkan meninggal dunia di Lubnan baru-baru ini akibat serangan jantung.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, perkembangan itu berpandukan hasil bedah siasat dijalankan Hospital Hammoud, Saida, Lubnan pada Ahad lalu.

Allahyarhamah merupakan Pegawai Tidak Tauliah Kanan dari Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Markas ATM sebelum ini memaklumkan allahyarhamah yang berumur 36 tahun bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 di Kem Marakah, Lubnan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan MALBATT 850-11 apabila rebah setelah turun dari bas di Kem Marakah.

Menurut kenyataan itu, allahyarhamah yang berasal dari Pendang, Kedah itu baru kembali bertugas setelah bercuti di Malaysia.

Allahyarhamah mula berkhidmat dalam ATM pada 2007 dan ditugaskan di dalam Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dan bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah sebelum diatur gerak menyertai Misi MALBATT 850-11 UNIFIL.

Allahyarhamah telah mendirikan rumah tangga serta mempunyai empat orang anak iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki berusia antara empat hingga 10 tahun. – MalaysiaGazette