MELAKA – Memenuhi acuan permintaan dan keperluan industri dunia dalam konteks Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) maka Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menawarkan tiga program baharu Ijazah Sarjana Muda Teknologi dengan Kepujian pada tahun ini.
Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, ini merupakan peluang keemasan yang dinantikan oleh ramai bagi melanjutkan pengajian dalam bidang TVET aras tinggi yang terus menjadi buruan industri dalam dan luar negara.
Katanya, tiga program baharu tersebut adalah Sarjana Muda Teknologi Internet of Things (IOT) dengan kepujian, Sarjana Muda Teknologi Telekomunikasi dengan kepujian dan Sarjana Muda Teknologi Pengkomputeran Awan dan Aplikasi dengan kepujian.
“Peluang keemasan ini terbuka kepada calon-calon lepasan Diploma Vokasional Malaysia (DVM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) bagi memohon tempat mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda di UTeM.
“UTeM mengambil inisiatif hebat ini membuka ruang dan peluang kepada golongan lepasan Diploma Kemahiran ini bagi menyambung pengajian pada tahap yang lebih tinggi di universiti awam.
“Ketiga-tiga program ini memulakan siri pengajian bermula pada kemasukan pelajar baharu untuk Semester 1 (Oktober) Sesi 2024/2025 ini,” ujar beliau dalam kenyataan yang diberikan di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.
Tambah beliau, uniknya tempoh pengajian bagi tiga program ini hanya mengambil masa selama selama tiga tahun sahaja yang mana 2 tahun setengah pengajian di kampus manakala baki setengah tahun lagi adalah di industri.
“Berbeza dengan program sarjana muda kejuruteraan dan teknologi kejuteraan yang mengambil masa pengajian selama 4 tahun,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai corak acuan silibus ketiga-tiga program ini adalah berteraskan kerjasama dengan ZTE Education China dan seperti mana sedia maklum negara China kini sedang rancak dengan pertumbuhan arus kemodenan teknologi dunia.
Justeru sudah tentu UTeM melaksanakan penawaran program pengajian yang berdaya kebolehpasaran tinggi buat graduan dan sentiasa menjadi pilihan utama para majkan peringkat global.
Mengulas lanjut beliau berkata, agenda ini turut memenuhi kriteria pengisian agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu Pendidikan Berkualiti (SDG 4) dan Kerjasama Demi Matlamat (SDG 17) daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Prof Dr Zulkifilie Ibrahim menyatakan kurikulum programnya diformulasikan dengan kadaran 60 peratus praktikal manakala hanya 40 peratus berasaskan teori.
“Ini adalah kerana ia memfokuskan kepada pembangunan dan pengasahan kemahiran aras tinggi TVET secara sepenuhnya dan tiada peperiksaan akhir bagi setiap semester.
“Sehubungan dengan itu, para pelajar yang mengikuti program-program tersebut akan mengikuti sesi perkuliahan dan proses pembelajaran di dalam makmal-makmal berteknologi tinggi yang terdapat di UTeM.
Bercakap mengenai keseluruhan program Sarjana Muda Teknologi yang sedia ditawarkan, Dr Zulkifilie berkata, UTeM telah menawarkan sebanyak 6 program sarjana muda Teknologi sebelum ini dan tambahan 3 program baharu ini menjadikan 9 program Sarjana Muda Teknologi secara keseluruhannya di UTeM pada masa kini.
“Sementara itu, secara umumnya 33 program lain yang terus mendapat permintaan tinggi yang telah ditawarkan UTeM iaitu 8 program sarjana muda kejuruteraan, 14 program sarjana muda teknologi kejuteraan, empat program pengurusan teknologi dan teknousahawan dan tujuh program sains komputer dan teknologi maklumat.
“Justeru menjadikan kesemuanya sebanyak 42 program sarjana muda di UTeM di samping lima program diploma yang ditawarkan di sini dan boleh dikatakan ia terus mendapat permintaan tinggi daripada majikan,” katanya.
Menurutnya, hasilnya terbukti dengan kadar kebolehpasaran graduan UTeM terus mencatatkan peningkatan peratusan yang tinggi pada setiap tahun iaitu tahun 2020 (88.1%), 2021 (91.1%) dan 2022 (96.4%). – MalaysiaGazette
Universiti jadi pusat latihan kemahiran untuk kilang…terbaik laa