KUCHING – Bandar raya Kuching kini menjadi tumpuan kira-kira 1,000 pengamal media tempatan dan antarabangsa yang mula berkumpul bagi sama-sama memeriahkan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 bermula esok.

Perhimpunan kali ini menyaksikan para editor, wartawan, jurufoto, jurukamera dan mereka yang bertugas di sebalik tabir serta wakil-wakil persatuan media di dalam dan luar negara akan menghadiri pelbagai program yang diatur selama tiga hari bermula Sabtu.

Mengangkat tema “Etika Teras Kewartawanan Mapan”, perhimpunan terbesar fraterniti media Malaysia itu disertai wakil media dari Kemboja, Indonesia, Jepun, Kuwait, Brunei, Filipina, Timor Leste, Vietnam, China, Korea dan Qatar.

Membuka tirai sambutan esok ialah program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa di Pustaka Negeri Sarawak yang akan dihadiri Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Diperkenalkan buat julung kalinya, program berkenaan akan berlangsung hingga Oktober ini dengan menyasarkan penuntut Pengajian Komunikasi dan Media atau mana-mana yang berkaitan di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang merupakan bakal pengamal media pada masa hadapan.

Program itu yang akan menjelajah ke IPTA terpilih di beberapa negeri turut diisi dengan sesi perkongsian ilmu dan pengalaman, selain perbincangan mengenai topik berkenaan Fact Check bersama Editor MyCheck Malaysia dan Unit Data Journalism Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Sakina Mohamed serta Mobile Journalism (MoJO) oleh Wartawan Kanan Meja Digital Media Bernama Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman.

Turut menjadi tumpuan pastinya Pameran HAWANA 2024 di Atrium Utama Plaza Merdeka Shopping Centre di sini, yang juga berlangsung selama tiga hari bermula esok dan bakal dirasmikan oleh Fahmi pada hari sama.

Sebanyak 17 agensi mengambil bahagian dalam pameran itu yang mengetengahkan perkhidmatan masing-masing, selain memberi peluang kepada para pengunjung mendapatkan pelbagai maklumat serta menyertai bermacam-macam aktiviti yang disediakan.

Peralatan media lama dan sejarah media di Sarawak juga akan dipaparkan pada pameran yang dibuka bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang itu.

Antara agensi yang terlibat dengan pameran itu ialah Bernama, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), TVS, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Jabatan Penerangan (Japen), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Sarawak Tourism Board (STB) dan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA).

Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 bertemakan “Evolusi Media dalam Era Digital” dengan kehadiran kira-kira 600 peserta melibatkan penceramah tempatan dan luar negara akan berlangsung selama dua hari bermula esok dan akan dirasmikan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Selain itu, para peserta HAWANA 2024 juga akan dibawa mengenali keunikan budaya serta pembangunan terkini Bumi Kenyalang dengan lebih dekat menerusi program “Juh Raon”.

Antara lokasi lawatan “Juh Raon” yang bermaksud “jom bersiar-siar” dalam bahasa Melayu Sarawak ialah Muzium Budaya Borneo, Jambatan Darul Hana, Dataran Ibu Pertiwi dan seterusnya peserta akan diraikan di restoran English Tea House untuk majlis jamuan teh dan sesi Networking.

Selain itu, para peserta sambutan HAWANA 2024 akan diraikan dalam Majlis Makan Malam bersama Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar esok.

Pada Isnin, kemuncak sambutan HAWANA 2024 pastinya tertumpu kepada amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan merasmikan edisi tahun ini, selepas diperkenalkan di ibu negara pada 2018, dan sambutan berikutnya di Melaka (2022) serta Perak (2023).

Perdana Menteri juga akan menyampaikan Anugerah Tokoh HAWANA selain tujuh pengamal media Bumi Kenyalang bakal diiktiraf sebagai penerima Anugerah Khas Premier Sarawak pada acara kemuncak perasmian itu.

HAWANA 2024 dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan kerjasama kerajaan Sarawak, manakala  Bernama selaku agensi pelaksana.

— BERNAMA