Tan Sri Razarudin Husain.

KUALA LUMPUR – Lima sekeluarga yang tamat tempoh tahanan reman hari ini berhubung insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru minggu lepas, ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, penahanan semula dibuat susulan siasatan polis mendapati keluarga itu mempunyai ideologi dan fahaman radikal.

“Apabila polis panggil saksi dan jiran keluarga itu, kita dapati keluarga ini isolated dan tidak bercampur, selain anak-anak juga tidak tamat persekolahan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini polis membebaskan dua pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) tanpa syarat setelah mendapati mereka tidak mempunyai sebarang jaringan dan kaitan dengan mana-mana kumpulan berfahaman radikal.

Dalam kejadian serangan pada 2.54 pagi Jumaat lepas, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 dan 24 tahun, serta suspek yang berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu cedera.

Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut dalam kejadian berkenaan, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, yang dilaporkan parah, kini stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor.

Sabtu lepas, tujuh individu dilaporkan direman tujuh hari bagi membantu siasatan serangan berkenaan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Lima daripada mereka adalah anggota keluarga suspek berusia antara 19 dan 62 tahun yang ditahan sejak Jumaat lepas, manakala dua pelajar IPT yang hadir di balai polis itu sebelum kejadian yang turut ditahan reman, telah dibebaskan tanpa syarat Selasa lepas.

Sementara itu, Razarudin berkata, pihaknya akan meningkatkan aspek logistik dan keselamatan dari segi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan pencahayaan di balai polis terpencil.

“Kadar kesiapsiagaan anggota di balai-balai akan diperketatkan selain Polis Diraja Malaysia akan menitikberatkan aspek keselamatan dan kebajikan anggota,” katanya. – Bernama