Sebuah kereta kebal tentera Israel berada di kawasan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal selepas melarikan diri dari Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza pada 30 Januari 2024. Foto AFP

MINGGU ini Sepanyol, Ireland dan Norway umumkan bahawa mereka akan iktiraf negara Palestin secara rasmi dalam satu majlis pada minggu depan, Selasa, 28 Mei 2024. Pengumuman tersebut dibuat oleh Perdana Menteri negara masing-masing di Madrid, Dublin dan Oslo.

Pengumuman ini dilihat sebagai satu lagi usaha pihak antarabangsa untuk mengenakan tekanan kepada Israel supaya menghentikan operasi ketenteraannya ke atas Gaza; operasi yang kini berdepan dakwaan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Ia juga susulan daripada undian di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) baru-baru ini untuk menimbang permohonan Palestin sebagai negara anggota. Dalam undian pada 10 Mei itu, 143 negara menyokong, 25 berkecuali dan 9 menentang. Negara-negara yang menentang ialah Israel, Amerika Syarikat (AS), Argentina, Czech Republic, Hungary, Micronesia, Nauru, Palau dan Papua New Guinea.

Pengiktirafan ini menambah bilangan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) yang mengiktiraf negara Palestin daripada 9 kepada 11 buah negara (Norway bukan negara EU). Negara EU yang telah pun mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara sebelum ini ialah Malta, Cyprus, Czech Republik, Slovakia, Hungary, Romania, Bulgaria, Poland dan Sweden.

Mahmoud Abbas, Presiden Palestinian Liberation Organization (PLO) sudah pasti merayakan kejayaan diplomatik ini. PLO telah berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan kepada negara Palestin sejak November 1988 selepas Yasser Arafat mengisytiharkan penubuhan negara Palestin berdasarkan formula penyelesaian dua negara (two-state solution).

Hamas menyifatkan pengumuman ini sebagai ‘langkah penting.” Kumpulan itu walau bagaimanapun menerima penyelesaian dua negara hanya sebagai penyelesaian sementara kerana secara prinsipnya rakyat Palestin berhak ke atas seluruh tanah Palestin yang dijajah oleh rejim Zionis baik selepas Nakbah 1948 mahupun Naksah 1967.

Bagi yang kritikal terhadap idea penyelesaian dua negara, pengumuman ini hadir terlalu lewat. Negara-negara ini seharusnya mengambil langkah tersebut lebih awal lagi selepas Perjanjian Oslo 1993 yang ditandatangani antara Israel dan PLO telah terbukti gagal menatijahkan perdamaian mahupun sebuah negara Palestin. Mengapa perlu tunggu sehingga 30 tahun untuk berbuat demikian?

Lebih memualkan, setiap kali berlaku ketegangan di Palestin, AS dan EU akan meratib mantra ‘penyelesaian dua negara’ tanpa sebarang tindakan tuntas untuk menjadikan ia satu realiti. Akibatnya, penyelesaian dua negara kini dilihat sekadar retorik yang digunakan oleh negara-negara ini untuk mengatakan mereka sedang berbuat sesuatu walhal masing-masing sekadar berpeluk tubuh melihat rakyat Palestin dibunuh, diusir dan diperlakukan seperti binatang oleh rejim zionis.

Bagi yang masih optimis dengan idea penyelesaian dua negara, pengumuman ini sudah pasti dilihat sebagai satu perkembangan yang penting lagi bersejarah. Lebih-lebih lagi apabila ia disambut dengan penuh histerik oleh rejim Zionis.

Netanyahu menyelar tindakan ini sebagai “hadiah kepada pengganas.” Israel Katz, Menteri Luar Zionis dengan angkuh mengatakan “kami tidak akan membiarkan pengumuman ini berlalu begitu sahaja.” Itamar Ben-Gvir, Menteri Keselamatan Dalam Negeri zionis menceroboh masuk ke dalam Masjid al-Aqsa dan mengecam langkah tersebut dari pekarangan masjid tersebut; sekali gus mendedahkan kebimbangan utama beliau terhadap pengumuman tersebut.

Tidak cukup dengan itu, Israel segera memanggil pulang dutanya. Kementerian Luar zionis kemudian memanggil duta Sepanyol, Ireland dan Norway untuk mengadap dan menjelaskan keputusan mereka. Dikhabarkan duta-duta ini telah dipaksa mendengar syarahan panjang lebar tentang kesan buruk keputusan mereka. Mereka juga ditontonkan dengan video operasi Hamas pada 7 Oktober untuk mengingatkan mereka kepada ancaman kumpulan tersebut.

Pun begitu, merit pengumuman ini tidak seharusnya dinilai daripada histeria zionis semata-mata. Ia perlu dinilai dengan lebih objektif.

Secara asasnya pengumuman ini wajar dipuji. Ketika media barat masih memainkan naratif zionis dengan melemparkan tuduhan anti-semitik kepada mereka yang memegang pandangan berbeza, tiga negara ini berani tampil menongkah arus. Lebih-lebih lagi apabila dikhabarkan ada beberapa lagi negara sebenarnya sudah bersedia untuk menyertai mereka tetapi menarik diri pada saat-saat akhir.

Pengumuman ini merupakan tamparan hebat kepada zionis dan sekutu kuatnya AS. Ia mencabar doktrin yang digunakan oleh zionis dan AS agar pengiktirafan kepada negara Palestin hanya dibenarkan berlaku selepas Israel dan PLO berjaya merundingkan bentuk akhir negara Palestin yang akan ditubuhkan. Selagi rundingan belum dimuktamadkan, pengiktirafan adalah langkah pramatang.

Inilah antara punca mengapa sehingga kini negara Palestin masih tidak berjaya dimuktamadkan. Doktrin ini telah ditunggang oleh Israel untuk sengaja melengah-lengahkan penubuhan negara Palestin. Rundingan demi rundingan sengaja disabotaj dengan pelbagai alasan. Dalam waktu yang sama mereka menguatkan cengkaman ke atas wilayah yang sepatutnya menjadi milik negara Palestin melalui pembinaan penempatan-penempatan haram.

Senario ini diburukkan lagi dengan kegagalan AS menjadi orang tengah yang adil dan tidak berpihak. AS sebaliknya sering tunduk kepada tuntutan Zionis yang menyebabkan kepentingan PLO sering dipinggir dan dibakulsampahkan. Walhal PLO telah pun melakukan kompromi terbesar dengan menggugurkan tuntutan kepada hampir 78% daripada wilayah asal Palestin; tindakan yang tidak dipersetujui oleh sebahagian besar rakyat Palestin termasuk Hamas.

Selain daripada itu, pengumuman ini menunjukkan sudah ada retak dalam EU berhubung perkara ini. Ada negara EU yang bersedia mengambil langkah unilateral mengiktiraf negara Palestin bertentangan dengan doktrin yang cuba diketengahkan oleh AS dan Israel.

Dalam undian di PBB tempoh hari, 14 negara EU menyokong permohonan Palestin untuk menjadi negara anggota PBB termasuk nama-nama besar seperti Belgium, Denmark, Portugal dan Perancis. Walaupun tidak menyokong, negara-negara lain seperti Jerman, Itali dan Netherland memilih untuk berkecuali dan tidak sepenuhnya menolak kemungkinan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.

Ini petanda positif kepada kemungkinan penglibatan lebih aktif negara-negara EU dalam usaha mencipta perdamaian di Palestin. Dengan itu monopoli AS dalam rundingan damai Israel-Palestin mampu dipecahkan.

Walau bagaimanapun, pengumuman ini tetap berisiko menjadi sekadar langkah simbolik semata-mata. Penyertaan negara-negara utama EU seperti Jerman dan Perancis penting sekiranya EU benar-benar ingin memainkan peranan lebih besar dalam usaha damai di Palestin.

Tidak kurang pentingnya juga EU perlu lebih bersedia untuk meraikan pihak yang menjadi pilihan rakyat Palestin untuk menjadi pemimpin mereka. Pengiktirafan negara Palestin tidak boleh diikat dengan penerimaan Mahmoud Abbas dan Fatah sebagai pemimpin kerana Abbas dan Fatah sudah lama hilang legitimasi.

Pengiktirafan negara Palestin seharusnya adalah pengiktirafan kepada aspirasi rakyat Palestin untuk mencapai kemerdekaan dan kebebasan termasuk kebebasan untuk memilih pemimpin mereka secara demokratik tanpa campur tangan kuasa luar.

Khalid Jimat,
Ketua Pegawai Penyelidik,
Palestine Centre of Excellence (PACE)