Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat sama ada serangan asid ke atas pemain Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim pada 5 Mei lepas mempunyai kaitan dengan serangan berunsur jenayah terhadap tiga pemain bola sepak yang lain.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan setakat ini menjurus kepada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan rakaman percakapan daripada saksi.

“Fokus kita pada masa ini adalah mencari identiti suspek yang kita peroleh sebelum mengesannya untuk memudahkan kita menyiasat sekali gus mencari motif utama kejadian serangan berkenaan.

“Proses mengesan cap jari pelaku juga tidak banyak membantu dalam mengesan suspek selepas hanya tiga daripada lapan cap jari yang diperoleh didapati sempurna manakala bakinya sukar dikesan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Razarudin berkata, setakat ini polis telah merekodkan 23 keterangan individu bagi membantu siasatan.

“Seramai tiga individu yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan selepas didapati tidak mempunyai kaitan namun mereka boleh dipanggil semula sekiranya dirasakan perlu.

“Tangkapan ketiga yang dilakukan di kawasan kediaman Faisal Halim tidak didedahkan selepas siasatan mendapati individu terbabit disahkan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan sekitar kediamannya,” katanya.

Mengenai fotofit atau lakaran gambar suspek yang dikeluarkan minggu lepas, Razarudin berkata, setakat ini tiada perkembangan terbaharu.

Sebelum ini, tular di media sosial rakaman CCTV berdurasi 56 saat memaparkan kejadian yang menimpa Mohamad Faisal di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Sebelum itu pada 2 Mei, pemain pasukan Terengganu FC (TFC) Akhyar Rashid mengalami kerugian hampir RM5,000 selepas dipukul dan disamun individu tidak dikenali di hadapan sebuah kondominium di Kuala Terengganu.

Selepas serangan terhadap Akhyar dan Mohamad Faisal, serangan jenayah turut dihadapi pemain Johor Darul Takzim, Safiq Rahim, apabila cermin belakang keretanya dipecahkan menggunakan tukul di Jalan Seri Gelam menghala Pantai Lido, Johor Bahru pada 7 Mei.

Terbaharu pada Rabu lepas, pemain pertahanan Selangor FC Ahmad Khuzaimi Piee turut berdepan insiden keganasan apabila rumahnya dipecah masuk ketika beliau keluar menjalani sesi latihan. – Bernama