Dr. Muhammad Akmal Saleh (kiri) dan Prof. Dr. Mohd. Tajuddin Mohd. Rasdi

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhammad Akmal Saleh mengingatkan supaya tidak ada mana-mana pihak menjadi Si Kitol berkaitan isu Universiti Teknologi Mara (UiTM) dilempar sebagai akademi apartheid.

Ingatan itu dibuat selepas seorang Prof. Dr. Mohd. Tajuddin Mohd. Rasdi tampil membidas beliau mengenai maksud istilah apartheid.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, mereka yang membaca artikel Our Apartheid Academy, UiTM memahami dengan jelas maksud apartheid yang ditulis oleh Andrew Sia.

“Semua orang yang baca tentang artikel tersebut boleh faham apa yang dinyatakan oleh Andrew Sia bersifat jahat.

“Seolah-olah ingin menidakkan sejarah penubuhan UiTM itu sendiri apabila menuduh ia adalah universiti apartheid academy.

“Jangan kita menjadi Si Kitol yang menjual bangsa demi kepentingan diri,” katanya dalam kenyataan.

Dr. Muhammad Akmal turut mendakwa Mohd. Tajuddin tidak memahami penubuhan UiTM.

“Ini soal hak bumiputera yang telah termaktub di dalam perlembagaan, kami tidak ambil sedikit pun hak kaum lain, kami hanya mempertahankan hak kami

“Kalau kamu sendiri pun tidak boleh faham sejarah penubuhan UiTM, maaf kami tidak perlukan kamu dalam hal ni prof,” kata Dr. Muhammad Akmal.

Memetik Kamus Cambridge, Tajuddin menegaskan bahawa walaupun perkataan apartheid berasal daripada perkataan Afrikaans untuk dasar perkauman yang diinstitusikan di Afrika Selatan.

Profesor dalam bidang seni bina Islam di Universiti UCSI itu berkata, perkataan apartheid juga digunakan dalam bahasa Inggeris untuk merujuk kepada dasar diskriminasi secara lebih umum.

Dia juga memberikan contoh-contoh perkataan itu yang digunakan dalam laporan berita di United Kingdom dan Amerika Syarikat untuk bercakap tentang diskriminasi yang tidak ada kaitan dengan dasar yang diamalkan di Afrika Selatan dahulu.

“Kita kena lihat dulu apa konteks penggunaan perkataan apartheid itu dan janganlah kita panjang-panjangkan kepada sesuatu yang di luar konteks yang dia digunakan,” katanya.

Selain Dr. Muhammad Akmal, turut tampil mengkritik tulisan Andrew adalah 20 naib canselor dan rektor universiti awam.

Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam, Prof. Datuk Gs Ts Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, penulis berkenaan menampakkan kejahilan terhadap Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan tentang kedudukan serta hak bumiputera di Malaysia.

Menurutnya, artikel yang sama memperlihatkan penulis berat sebelah terhadap orang Melayu kerana istilah bumiputera bukan merujuk kepada kaum itu sahaja. – MalaysiaGazette