Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Juan Muniz meraikan gol ke empat semasa menentang Kuala Lumpur City FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Cheras, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) membelasah Kuala Lumpur City FC (KL City) 5-1 pada aksi Liga Super 2024/2025 di Stadium Bolasepak Cheras di sini hari ini.

Babak pertama menyaksikan JDT menguasai permainan dan mengasak kubu tuan rumah namun gagal mendapat sebarang jaringan sebelum permainan dihentikan selama empat minit pada minit ke-33 susulan petir di sekitar stadium.

Skuad kendalian Hector Bidoglio akhirnya berjaya membuka tirai jaringan menerusi tandukan Fernando Martin Forestieri pada minit ke-42 selepas pengadil Muhammad Nazmi Nasaruddin memeriksa video bantuan pengadil (VAR) untuk memastikan pemain JDT tidak ofsaid.

Bola dilihat seperti menerima sentuhan Bergson Gustavo Silveira Da Silva yang ofsaid sebelum ditanduk Forestieri, namun VAR membuktikan tiada sebarang sentuhan oleh Da Silva dan jaringan pertama skuad Harimau Selatan itu dikira.

JDT yang terus mengasak kubu The City Boys mendapat sepakan percuma selepas Francisco De Oliveira Geraldes dijatuhkan pemain KL City Giancarlo Gallifuoco.

Juan Muniz Gallego yang mengambil sepakan itu berhasil menterjemahkan jaringan kedua buat JDT untuk mendahului 2-0 pada masa kecederaan namun KL City merapatkan jurang selepas ketua pasukan Paulo Josue meledak gol pertama juga melalui sepakan percuma sebelum wisel separuh masa dibunyikan.

Bersambung babak kedua JDT sekali lagi membolosi gawang pasukan tuan rumah menerusi tandukan Forestieri selepas menerima hantaran lintang Matthew Davies pada minit ke-61 sebelum Muniz Gallego sekali lagi meledak jaringan keempat skuad Harimau Selatan pada minit ke-71.

Tidak cukup dengan itu, JDT terus menambah duka KL City apabila Muhammad Syahmi Safari menjaringkan gol kelima pasukan pelawat.

Keputusan itu memberi skuad Harimau Selatan tiga mata penuh untuk berada di tangga teratas carta liga dengan keseluruhan sembilan mata, manakala KL City kekal di tangga ke-10 dengan hanya satu mata. – Bernama