Jenazah anggota Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), Allahyarhamah Sarjan Faridah Abd Rahman diberi penghormatan terakhir di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri, Beirut, Lubnan. - Foto: Angkatan Tentera Malaysia

SUBANG – Jenazah anggota Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), Sarjan Faridah Abd Rahman yang meninggal dunia di Lubnan, diterbangkan ke kampung halamannya di Kedah pada 7.04 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham diterbangkan menggunakan pesawat C130 Hercules Tentera Udara Diraja Malaysia dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Anwar, Kampung Tengah, di Pokok Sena, Kedah.

Terdahulu jenazah diterbangkan menggunakan pesawat komersial dari Lapangan Terbang Rafik Hariri, Beirut pada 12.05 tengah hari waktu Lubnan (5.05 petang waktu Malaysia) dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 10 malam semalam.

Jenazah Allahyarham yang juga ibu kepada empat orang anak itu kemudiannya dibawa ke Pangkalan Udara Subang, di sini, pada 4.56 pagi tadi.

Lebih 800 pegawai dan anggota ATM termasuk Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohd Akmar Mohd Dom dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim menyertai solat jenazah yang diadakan di Masjid Al Muhajirin, Pangkalan Udara Subang.

Sebaik selesai solat jenazah yang dipimpin Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera, Mejar Jeneral Datuk Mohd Rashidi Bujai, jenazah diberikan penghormatan terakhir mengikut istiadat ketenteraan.

Pada 19 Mei lepas, Markas ATM dalam kenyataan memaklumkan Faridah, 39, meninggal dunia pada 2.25 pagi waktu Lubnan atau 7.25 pagi waktu Malaysia selepas dilaporkan rebah ketika turun dari bas di Kem Marakah, sejurus tiba di Lubnan daripada bercuti selama sebulan di Malaysia.

Bedah siasat di Hospital Hammoud, Saida, Lubnan mengesahkan punca kematian Allahyarham yang bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 di Kem Marakah, itu adalah akibat serangan jantung. – Bernama