Gambar hiasan

MELAKA – Kerajaan akan membentangkan rang undang-undang berkaitan Suruhanjaya Gig di Parlimen pada Julai ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kerajaan mengambil langkah membentangkan rang undang-undang berkenaan, selepas mendapat usul daripada golongan belia sebelum ini.

“Baru-baru ini ada usul daripada belia-belia. Dia minta supaya adakan Suruhanjaya Gig kerana puluhan ribu malah mencecah 100,000 anak-anak muda (bekerja) dalam (sektor) ekonomi gig.

“Kerajaan terus (rangka) dan kita telah siapkan undang-undang (Suruhanjaya Gig) dan insya-Allah boleh dibentangkan di Parlimen pada Julai akan datang, dan bila kita dengar suara belia, kita cuba bukan sekadar santuni tapi kita laksanakan (permintaan belia),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 peringkat Kebangsaan di Dataran Pahlawan, Banda Hilir di sini, hari ini. – Bernama