Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Malaysia bersedia menghulurkan bantuan kepada Papua New Guinea yang dilanda tanah runtuh semalam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ingatan saya adalah dengan penduduk Papua New Guinea yang berdepan tragedi akibat tanah runtuh besar yang telah meragut lebih seratus nyawa di wilayah Enga.

“Malaysia sedia membantu saudara-saudara kita di Papua New Guinea,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.

Dilaporkan, lebih 100 orang dikhuatiri terkorban dalam kejadian tanah runtuh di sana.

Tanah runtuh itu dilaporkan melanda Kampung Kaokalam di Wilayah Enga, kira-kira 600 kilometer ke barat laut ibu negara Port Moresby pada awal pagi Jumaat.

Dikatakan, pihak berkuasa masih belum mengesahkan jumlah korban.

Tanah runtuh itu juga telah menghalang jalan ke bandar Porgera, iaitu terletaknya lombong emas besar.

Sementara itu, Kementerian Luar mengesahkan setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkesan atau menjadi mangsa tanah runtuh berkenaan.-MalaysiaGazette