Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga asing maut manakala anaknya tercedera setelah motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya di Taman Desa Mas, Gombak, di sini, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, semasa kejadian wanita itu bersama anak perempuannya menaiki motosikal jenis Yamaha LC 135 dipercayai dari arah Saujana Rawang menghala ke Bandar Country Homes.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki lorong bertentangan dan melanggar pembahagi jalan.

“Kejadian itu telah mengakibatkan mangsa bersama anaknya terjatuh atas jalan dan mengalami kecederaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kedua-dua beranak dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Jelasnya, mangsa yang merupakan wanita warga asing berusia 39 tahun itu mengalami kecederaan dalaman pada badan manakala anaknya berusia lima tahun tercedera di bahagian kepala.

“Mangsa (ibu) kemudiannya telah disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Amira Abu Hassan di talian 019-6026596 atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222. – MalaysiaGazette