Tangkap layar komen Chef Wan baru-baru ini ketika Festival Filem Cannes.

KUALA LUMPUR – Jenaka selebriti chef terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan  yang menyamakan pakaian Aishwarya Rai Bachan dengan sambutan keagamaan Thaipusam dianggap melampaui batas.

Menurut Pemegang Amanah Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam, Datuk Sivakumar Nadarajah, walaupun niat Chef Wan tidak lebih daripada berjenaka namun ia tidak boleh diterima oleh masyarakat India terutamanya dalam kalangan penganut Hindu.

Sebagai seorang selebriti yang sangat disegani sepatutnya Chef Wan menjaga adab dan tidak membuat sesuatu yang menyinggung hati orang lain.

“Sememangnya mengejutkan, saya tidak pasti apakah sebenarnya yang menjadi sumber inspirasi jenaka ini. Mungkin beliau (Chef Wan) mahu menyatakan ratu cantik dan pelakon (Aiswariya) dengan destinasi pelancongan terkenal iaitu kuil Batu Caves.

“Beliau mungkin ingin bercakap tentang pakaian Aiswariya Rai seakan-akan merak yang menjadi simbolik kepada sambutan Thaipusam tapi Chef, anda perlu tahu jenaka seperti ini tidak logik dan sangat menyinggung apatah lagi ianya satu sambutan keagaaman yang dilakukan dengan nazar dan ritual agama.

“Ini bukan sesuatu yang boleh dibuat main. Saya harap anda sedar dan ambil tindakan segera memohon maaf kerana anda memang telah menyinggung perasaan walaupapun alasan anda. Kita hidup dalam keadaan harmoni bawah satu bumbung bersama semua kaum dan bangsa, elak diri daripada buat seperti ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Untuk makluman, Sivakumar mengulas isu tentang tindakan Chef Wan secara berseloroh memberi komen di Instagram Namaste Bollywood apabila laman sosial itu berkongsi gaun Aiswariya di karpet merah Festival Filem Cannes.

Di bahagian komen, Chef Wan secara berseloroh mencadangkan gaun itu kelihatan seperti perarakan kavadi dan Aiswariya dalam perjalanan ke upacara Thaipusam di Batu Caves.

“Dia membawa Kavadi menuju upacara Thaipusam di Batu Caves,” tulis Chef Wan.

Aishwarya meriahkan karpet merah Festival Filem Cannes buat kali kedua tahun ini memukau penonton dengan gaun dari pereka Falguni Shane Peacock.

Komen Chef tersebut mencetuskan kecaman daripada pengguna dalam talian yang menuduh beliau bersikap perkauman.

Dalam pada itu, Sivakumar turut meminta campur tangan pihak berwajib  dengan kadar segera sebelum ia meleret sehingga menganggu gugat hubungan kaum di negara ini. -MalaysiaGazette