Samaan Antawor (tengah) mengucapkan dua kalimah syahadah yang dipimpin oleh Amir Sarifudin (kanan) sambil disaksikan oleh Zolkifly Md. Lazim di Keningau, Sabah.

KENINGAU – “Sekian lama kami tercari-cari mengenai pengertian hidup ini.

“Akhirnya kami setuju untuk bersyahadah bersama dan peluk Islam kerana yakin agama Islam dapat menjamin kehidupan kami, dunia dan akhirat.

“Biarlah kami sehidup dan semati sebagai orang Islam,” kata seorang petani, Samaan Antawor.

Menurut lelaki berusia 59 tahun itu, dia dan isteri tertarik dengan Islam kerana mendapati Islam sentiasa mengutamakan kasih sayang keluarga termasuk menghormati ibu bapa.

“Banyak lagi ajaran Islam yang menjadi daya tarikan dan membuatkan kami yakin untuk bersyahadah,” katanya.

Sementara isterinya, Sofia Anggang, 40, turut melahirkan rasa gembira dan teruja apabila dapat bersyahadah bersama suaminya.

“Memang sudah lama kami berhasrat untuk peluk Islam. Akhirnya cita-cita ini tercapai juga. Saya dan suami tidak mendapat sebarang halangan dari ahli-ahli keluarga terdekat,” katanya yang bekerja sebagai tukang cuci.

Sofia yang masih mempunyai ibu dan bapa berkata, dia juga berhasrat untuk sentiasa menjaga kebajikan orang tuanya.

Pasangan suami isteri berkenaan yang mempunyai seorang anak perempuan berusia satu tahun enam bulan, bersyahadah di bawah program yang diatur oleh Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT).

Mereka mengucapkan dua kalimah syahadah yang dipimpin oleh Setiausaha Media dan Komunikasi IKUT, Amir Sarifudin.

IKUT merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif membantu golongan mualaf dari segi kebajikan, pendidikan dan sebagainya.

Sementara itu, Penaung IKUT, Zolkifly Md. Lazim yang turut hadir dalam program berkenaan berkata, sebelum bersyahadah, pasangan suami isteri itu diingatkan mengenai tanggungjawab terhadap ibu bapa mereka.

“Mereka diingatkan bahawa hubungan dengan ibu bapa tidak pernah terputus. Malah, sebagai anak, mereka mempunyai tanggungjawab menjaga kebajikan  dan hati ibu bapa mereka walaupun orang tua mereka tidak Islam,” katanya. – MalaysiaGazette