Sarimah Osman, gembira memenangi hadiah utama cabutan bertuah dan membawa pulang 1 ekor lembu pada Program Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan Jelajah Hari Usahawan, Agro Dan Koperasi Negeri Perak 2024 di perkarangan Stadium Indera Mulia, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

IPOH – Suri rumah berusia 53 tahun menjadi pengunjung bertuah apabila memenangi hadiah utama cabutan bertuah seekor lembu Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan Hari Jelajah Usahawan, Agro dan Koperasi Negeri Perak 2024 di Stadium Indera Mulia.

Sarimah Osman dari Batu Gajah berkata, dia terkejut apabila namanya diumumkan sebagai pemenang utama kerana tidak meletakkan harapan untuk memenangi hadiah tersebut.

“Apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang, saya agak terkejut sehingga tidak mampu berkata apa-apa.

“Bagaimanapun, saya berasa gembira dan bersyukur di atas rezeki yang diberikan,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu.

Menurutnya, ini adalah kali pertama dia mendapat hadiah cabutan bertuah yang agak besar berbanding penyertaannya terdahulu.

“Biasanya kalau cabutan bertuah saya hanya dapat hamper sahaja tetapi kali ini saya bernasib baik kerana menerima hadiah yang besar,” ujarnya.

Ketika ditanya apakah yang akan dibuat dengan lembu tersebut, Sarimah memaklumkan bahawa dia masih belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.

“Setakat ini saya belum pasti apa yang akan dibuat dengan lembu itu.Jadi, buat sementara waktu, lembu itu ditempatkan di kandangnya semula kerana dekat rumah saya tiada kawasan untuk menyimpannya,” jelasnya.

Showcase yang berlangsung selama tiga hari mulai Jumaat lalu melibatkan 100 usahawan SDSI dari Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak adalah anjuran bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STEP).

Program tersebut diadakan bagi mempromosi dan memasarkan pelbagai produk berkualiti keluaran usahawan kecil dan sederhana tempatan. – MalaysiaGazette