Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 23 anggota dan juga pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang dikatakan bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dan penjualan arak dan rokok tanpa cukai akan mula didakwa di Mahkamah Sesyen di enam negeri mulai esok.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan memaklumkan, semua suspek akan didakwa secara berasingan bulan ini sehingga 6 Jun depan.

Enam negeri terbabit adalah Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Negeri Sembilan.

“Ini merupakan pendakwaan selepas Ops Samba 2.0 yang bermula sejak 11 Mac lalu menerusi kerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara.

“Ops terbabit berakhir 25 Mac lalu menumpukan siasatan kepada anggota dan pegawai Kastam yang bertugas di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang akhirnya berjaya mengesan ketirisan hasil cukai sebanyak RM2 bilion,” kata SPRM dalam kenyataan.

Seramai 34 anggota dan pegawai dari gred 19 hingga 44 bersama 27 individu dan pemilik syarikat telah ditahan SPRM minggu lepas.

“Hasil siasatan mendapati mereka bersekongkol dengan sindiket penyeludupan mengimport dan penjualan arak serta rokok seludup,” ujar kenyataan itu. – MalaysiaGazette