Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard.

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat permohonan di Mahkamah Rayuan, di sini, berhubung dua keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan kes menghasut dan fitnah pada minggu lalu.

Sebelum ini mahkamah mengenakan perintah ‘gag order’ iaitu tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan terbuka berhubung kes yang sedang dihadapi olehnya sehingga selesai.

Menurut peguam mewakili pemohon, Muhammad Rafique Rashid Ali, pihaknya telah meminta Mahkamah Rayuan memutuskan keputusan oleh dua mahkamah iaitu satu di Kuala Lumpur dan di Johor Bharu.

“Ini soal kebebasan bersuara, anak guam saya perlu diberikan ruang yang secukupnya dalam melawan kes yang sedang dihadapi olehnya,” katanya kepada media di lobi mahkamah, di sini, hari ini.

Dalam prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Sesyen, di sini, Siti Aminah Ghazali telah menetapkan 11 Julai ini bagi penyerahkan baki dokumen oleh pihak pendakwaan dalam kes hasutan dan fitnah.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi di sini telah mengeluarkan perintah terhadap Badrul Hisham atau lebih dikenali dengan gelaran Chegu Bard tidak mengeluarkan kenyataan atau komen berkaitan kes dihadapinya pada 14 Mei lepas.

Manakala Mahkamah Tinggi Johor Bharu juga mengeluarkan perintah sama pada 20 Mei lepas.

Chegu Bard berdepan pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut di laman Facebook miliknya di Taman Bukit Cheras di sini, jam 12.15 tengah hari, 6 April.

Beliau juga didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah dengan sebab untuk mempercayai bahawa kenyataan itu akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Pada 30 April lalu, Badrul Hisham mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana mengeluarkan penerbitan menghasut berkaitan projek kasino di Forest City. -MalaysiaGazette