Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR – Permohonan bagi Progam Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI) yang melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi dibuka esok.

Penerima yang layak akan disalurkan BUDI MADANI sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pemilik kenderaan diesel persendirian berdasarkan kriteria kelayakan tertentu boleh membuat permohonan di bawah kategori BUDI Individu.

Manakala petani kecil dan pekebun kecil boleh memohon di bawah kategori BUDI Agri-Komoditi.

“Pelaksanaan susulan kenyataan Perutusan Negara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lalu berhubung keputusan Jemaah Menteri untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Bagi kategori BUDI Individu, pemohon mestilah warganegara Malaysia, memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan selain kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun.

Kenderaan dimiliki mempunyai cukai jalan yang aktif dan pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 dan ke bawah.

Manakala bagi BUDI Agri-Komoditi, pemohon mestilah berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil dengan agensi yang berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

Pemohon merupakan petani atau pekebun kecil komoditi yang aktif dengan hasil jualan pertanian tahunan antara RM50,000 dan RM300,000.

“Setiap permohonan yang diterima akan disemak silang dengan data di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi mengecualikan pemilik kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun dan individu berpendapatan tinggi (T20),” katanya.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di laman web https://budimadani.gov.my yang akan dibuka sepanjang tahun.

Bagi permohonan yang dibuat dan diluluskan sebelum 3 Jun akan menerima BUDI MADANI pertama menjelang pertengahan Jun dan bantuan seterusnya akan disalurkan secara bulanan.

Manakala bagi permohonan yang diluluskan selepas 3 Jun akan menerima BUDI MADANI pertama dalam tempoh dua minggu dan seterusnya secara bulanan.

BUDI MADANI akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima setiap bulan manakala penerima tanpa akaun bank boleh menuntut BUDI MADANI secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung Malaysia.

Amir Hamzah berkata, Program BUDI MADANI melengkapi usaha sedia ada Kerajaan dalam menyasarkan subsidi diesel melalui sistem MySubsidi Diesel kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Setakat ini, hampir 90,000 fleet card dikeluarkan kepada syarikat di bawah sektor pengangkutan awam darat dan sektor pengangkutan barangan darat.

“Seperti yang sering kali ditekankan oleh Perdana Menteri, penyasaran subsidi diesel merupakan antara langkah reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI, bagi membina kemampanan kewangan Kerajaan serta Malaysia yang lebih berdaya saing.

“Ikhtiar BUDI MADANI mencerminkan usaha bersepadu jentera Kerajaan MADANI dalam memastikan mekanisme penyasaran subsidi diesel adalah komprehensif, cekap dan berkesan supaya sektor logistik dan majoriti rakyat terus dilindungi,” tambah beliau.

Untuk memohon dan mengetahui lebih lanjut berhubung syarat-syarat kelayakan BUDI MADANI boleh layari https://budimadani.gov.my.

Pemohon juga boleh menghubungi talian bantuan BUDI MADANI di nombor 1-800-88-2747 / 03-8882 4565 / 03-8882 4566 atau secara e-mel di alamat [email protected].

Pertanyaan dan maklumat lanjut juga boleh diperolehi di semua pejabat LHDNM seluruh Semenanjung Malaysia. – MalaysiaGazette