Datuk Dr.  Zulkifle Ali Al- Hafiz

KUANTAN – Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 menunjukkan tren peningkatan rekod cemerlang 18 buah sekolah menengah agama negeri (SMAN) Pahang.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr.  Zulkifle Ali Al- Hafiz berkata, SMAN Pahang telah mencatatkan Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 3.74 berbanding 4.27 tahun 2022 dengan peningkatan 0.53 peratus.

”Alhamdulillah kita telah melaksanakan rancangan kita apabila pencapaian tahun 2022 meningkat dan signifikan kini SPM 2023 meningkat lagi secara keseluruhan dan ada sekolah menunjukkan peningkatan yang baik di mana memberi keyakinan kita akan buat lebih baik untuk SPM 2024.

”Saya sangat berpuas hati. Nampak dalam dua tahun ini tren meningkat naik dari segi prestasi, peratusan dan banyak aspek lain,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata, seramai 1231 calon telah menduduki peperiksaan SPM 2023 bagi SMAN dan daripada itu sejumlah 1,226 calon (99.59 peratus) Layak Sijil.

Menurutnya, pencapaian itu menjadikan lima buah sekolah agama di negeri ini tersenarai mendapat Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik.

Lima sekolah tersebut adalam Sekolah Menengah Agama (SMA) Chenor, Maran, Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan, SMA Tengku Ampuan Fatimah, Pekan, SMA Al-Ulum Addiniah, Raub dan SMA Al-Khairiah, Temerloh.

Lebih membanggakan, seramai 11 orang pelajar telah diiktiraf sebagai pelajar paling cemerlang seluruh Pahang bagi kategori SMAN Pahang.

Sementara itu, Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MNTP) telah mencatat sejarahnya tersendiri dalam peperiksaan SPM 2023 apabila muncul sekolah terbaik dengan mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.07 berbanding 1.197 pada tahun 2022.

Pencapaian yang cukup luar biasa bagi insititusi pendidikan itu apabila kesemua pelajarnya seramai 56 calon lulus 100 peratus dengan 23 daripadanya memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.

Ia sekali gus menjadikan MNTP tersenarai di tempat pertama dalam 20 sekolah terbaik negara dalam pencapaian SPM 2023.  – MalaysiaGazette