Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak membeli tanah ‘lot lidi’ kerana pembeli tidak mempunyai hak daripada sudut undang-undang sebagai tuan tanah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ‘lot lidi’ sering dijual sebagai lot banglo tetapi status tanah itu adalah pertanian.

“Siasatan kami mendapati, ‘lot lidi’ adalah merujuk kepada sebidang tanah pertanian yang mempunyai dokumen hak milik yang sah dan kemudiannya dijual secara lot kecil tanpa urusan pindah milik tanah kepada pembeli atau pengeluaran dokumen hak milik berasingan bagi lot kecil berkenaan.

“Lot lidi ini, harga jualannya lebih murah daripada harga pasaran semasa dan tiada geran individu akan dikeluarkan, sebaliknya hanya dokumen Surat Pemegang Amanah sahaja akan diberikan kepada pembeli selain nama pembeli tidak akan dimasukkan dalam geran sebagai pemilik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagi tempoh antara 2021 hingga 2023, sebanyak 45 laporan polis diterima oleh berkaitan ‘lot lidi’ melibatkan nilai kerugian berjumlah RM1.96 juta.

Menurut Ramli, pembeli lot lidi sering diminta membuat pinjaman peribadi jika mahu membeli tanah berkenaan berikutan tidak layak membuat pinjaman perumahan berdasarkan status tanah pertanian.

“Pembelian tanah secara ‘lot lidi’ adalah amat berisiko atas beberapa faktor kerana berdasarkan Kanun Tanah Negara, hak dan kepentingan pembeli hartanah hanya diiktiraf selepas ia didaftarkan kepada nama pembeli dan apabila kematian berlaku, pembeli lot lidi tidak layak untuk menuntut hak mereka.

“Hal ini lebih sukar sekirnaya waris pemilik tanah enggan memberikan kerjasama kepada pembeli lot lidi dan sekiranya berlaku kematian pembeli lot lidi, pemilikan ‘lot lidi’ tersebut tidak dapat diwariskan kepada individu lain kerana tidak diiktiraf di sisi undang-undang.

“Sekiranya tanah tersebut diambil alih oleh kerajaan dan pihak kerajaan ingin memberi pampasan, pembeli lot lidi tidak layak menerima pampasan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ramli meminta Pejabat Tanah memperketatkan prosedur pindah milik tanah dengan mengesahkan ketulenan dokumen yang dikemukakan berikutan peningkatan kes penipuan pindah milik tanah.

Katanya, dalam tempoh tiga tahun antara 2021 hingga 2023, sebanyak 489 kes penipuan tanah direkodkan pihaknya dengan nilai kerugian mencecah hampir RM300 juta.

Tambah beliau, kekurangan ilmu pengetahuan dalam kalangan pembeli yang mana segala urusan diserahkan kepada ejen atau wakil jualan  merupakan faktor berlakunya penipuan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast