KUALA NERANG – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di sempadan negara Malaysia-Thailand di sini semalam.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan berkata, kesemua PATI itu ditahan pukul 12.15 tengah hari di dalam Sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.
“Pasukan operasi yang sedang melaksanakan rondaan bermotosikal telah mengesan pergerakan lima orang awam dalam keadaan mencurigakan di kawasan hutan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.
“Hasil pemeriksaan ke atas seorang wanita dan empat lelaki berusia lingkungan 22 hingga 42 tahun itu mendapati mereka merupakan warga Myanmar.
“Bagaimanapun, tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan cuba memasuki negara melalui laluan haram di sempadan.
“Turut dirampas lima buah telefon bimbit, ubatan-ubatan dan wang tunai dengan anggaran nilai keseluruhan berjumlah RM3,485,” katanya.
Tambah kenyataan itu, kesemua PATi itu diserahkan kepada pihak polis di Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut.
“Pasukan operasi akan terus memastikan keselamatan sempadan negara daripada aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya kemasukan PATI,” katanya. – MalaysiaGazette