Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil melihat kereta yang terlibat akibat bumbung jatuh timpa kereta di Apartment Putra Ria Block 94, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 28 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM120,000 diperuntuk bagi kerja membaik pulih kerosakan bumbung Apartment Putra Ria di sini susulan insiden ribut dan hujan lebat pada Sabtu lalu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya akan berbincang bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh berhubung peruntukan tersebut bagi menyegerakan kerja baik pulih di dua blok yang terlibat di Bangsar itu.

“Agak serius sebab terdapat salah satu blok, lifnya terjejas kerana bahagian bumbungnya terbuka sepenuhnya dan ia mungkin terkesan apabila hujan nanti.

“Jadi kita lihat kerja baik pulih bagi kedua-dua blok ini dijangka menelan belanja sekurang-kurangnya RM120,000.

“Saya akan berbincang dengan Datuk Bandar petang ini untuk menyegerakan kerja baik pulih. Jadi insya-Allah tidak ada masalah dari segi peruntukan.

Insiden bumbung jatuh timpa kereta akibat ribut di Apartment Putra Ria Block 94, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 28 MEI 2024.

“Saya juga harap kerja-kerja ini dapat dijalankan sesegera mungkin. Kalau boleh kita nak mulakan esok tapi saya perlu adakan perbincangan dahulu untuk penyelarasan peruntukan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau dan menghulurkan sumbangan kepada penduduk yang terkesan dalam insiden tersebut di sini hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi turut mengarahkan pihak pengurusan pangsapuri terbabit untuk melakukan pemeriksaan ke atas semua stuktur bumbung di ketiga-tiga blok berkenaan.

“Tindakan ini perlu dilakukan bagi memastikan insiden sama tidak berulang demi memastikan keselamatan penduduk terutama di ketiga-tiga blok ini.

“Pihak pengurusan perlu melakukan pemeriksaan sekiranya ada kerosakan kita ambil langkah menyeluruh untuk baik pulih dengan kadar segera,” ujarnya.

Pada Sabtu lalu, ribut dan hujan lebat yang berlaku di ibu negara  mengakibatkan lapan unit kediaman di Apartment Putra Ria terjejas teruk pada bahagian bumbung.

Selain itu, lapan kenderaan yang terdiri dari lima buah motosikal dan tiga buah kereta yang sedang diparkir rosak ditimpa cebisan bumbung yang diterbangkan angin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast