Nancy pada Majlis Penutupan Persidangan Pembangunan Awal Kanak-kanak Peringkat Asia Pasifik 2024 di Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Program Advokasi Kanak-kanak: Kasih Kanak-kanak mengenai isu penderaan termasuk gangguan seksual akan diperluaskan lagi di 300 sekolah di negara ini bermula tahun ini dan tahun hadapan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ini susulan pihaknya telah mencapai 30 peratus pelaksanaan dan menerima respons baik terutamanya daripada persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).

“Kalau kita lihat dari segi impak serta permintaan, ramai ibu bapa, persatuan guru minta kita adakan program tersebut di sekolah-sekolah sebab mereka dapat lihat kesannya dari segi memberi maklumat terutamanya membabitkan pelajar.

“Bukan sahaja pelajar, malah orang dewasa, guru kaunselor di sekolah dan juga masyarakat kampung adakalanya dijemput bersama.

Nancy.

“Menerusi program advokasi itu, mereka dapat mempelajari sesuatu termasuk cara untuk bertindak apabila berdepan situasi penderaan serta gangguan seksual,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Persidangan Pembangunan Awal Kanak-kanak Peringkat Asia Pasifik 2024 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Tambah beliau, program itu akan diperluaskan ke Melaka dan Negeri Sembilan tahun ini sebelum negeri lain.

Jelasnya, program ini telah dilancarkan lima tahun lalu dan ia dilaksanakan di sekolah-sekolah menengah dan rendah membabitkan lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Sabah, Kelantan, Selangor dan Sarawak.

“Program kasih kanak-kanak berperanan menyampaikan mesej menerusi ceramah dan pameran untuk menghadapi kes penderaan dan hak-hak mereka.

“Ia turut memberi penekanan kepada kanak-kanak mengenai kepentingan talian kasih 15999 sekiranya sebarang kejadian buruk menimpa diri mereka,” katanya. – MalaysiaGazette