PUTRAJAYA – “Alhamdulilah, syukur selepas dimaklumkan pasport ibu bapa saya kini berada di pejabat Konsulat Malaysia di Jeddah dan boleh diambil bila-bila masa,”, luah anak pasangan suami isteri yang terkandas di Tanah Suci baru-baru ini.
Ena Awil, 33, berkata, berita gembira itu diterima sekitar jam 12.40 tengah hari tadi menerusi aplikasi Whatsapp daripada seorang wakil konsulat di Jeddah.
Bagaimanapun, setakat ini dia belum menghubungi ibu bapanya berhubung perkara itu dan berharap pasport terbabit dapat dikembalikan tanpa sebarang syarat.
“Mereka minta saya maklumkan kepada ibu bapa saya bahawa dokumen itu boleh dituntut di Konsulat Malaysia di Jeddah pada jam 8 pagi hingga 3 petang. Tidak sebarang syarat atau dokumen yang perlu ditandatangani,” katanya kepada media di sini hari ini.
Sambil meluahkan rasa gembira, Ena berharap ibu bapanya dapat pulang ke tanah air pada awal Jun ini.
Ena berkata, beliau amat bimbang dengan kesihatan ibunya yang mengalami masalah jantung dan tidak boleh berada dalam keadaan tertekan.
“Saya berterima kasih sangat sebab ibu bapa saya dapat keadilan tapi mengenai tiket pulang bagaimana pula. Saya menggesa pihak agensi yang mengedalikan pakej ini untuk bertanggungjawab menyediakan tiket balik ke Malaysia untuk ibu bapa saya,” tambahnya.
Wanita ini mengadakan sidang media ini bagi menggesa pihak agensi pelancongan itu segera mengembalikan pasport ibu bapanya untuk pulang ke Malaysia selepas mereka mendakwa TA terbabit menggunakan visa pelancongan untuk menunaikan rukun Islam kelima.
Ena yang juga penasihat undang-undang akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung operasi agensi terbabit kerana mendakwa syarikat itu tidak mempunyai lesen Pengendali Jemaah Haji (PJH) yang sah.
Semalam, dia telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Nilai, Negeri Sembilan, dan meminta pihak berkuasa menyiasat agensi tersebut. – MalaysiaGazetteAl