KUALA LUMPUR – Inflasi Indeks Harga Pengeluar (IHPR) yang meningkat sebanyak 1.9 peratus tahun ke tahun pada April 2024 menunjukkan tekanan kos yang lebih tinggi untuk perniagaan tempatan, menurut MIDF Research.

Katanya, walaupun perniagaan akan terjejas oleh turun naik harga komoditi global, tekanan kos akan menjadi lebih tinggi pada tahun ini berikutan kesan daripada perubahan dasar seperti rasionalisasi subsidi dan kenaikan harga bahan api.

“Sehubungan itu, kami menjangka inflasi pengguna akan naik sedikit kepada 2.7 peratus pada tahun ini (2023: 2.5 peratus), sebahagian besarnya berikutan perubahan dari segi penawaran,” menurut firma penyelidikan itu dalam satu laporan.

IHPR Malaysia pada April 2024 meningkat untuk bulan ketiga berturut-turut dan kenaikan paling pesat sejak Disember 2022.

Mengikut sektor, katanya sektor pembuatan menyaksikan kenaikan kos yang lebih cepat kepada 0.8 peratus tahun ke tahun (Mac 2024: 0.6 peratus tahun ke tahun). Inflasi sektor perlombongan meningkat kepada 10.0 peratus (Mac 2024: 8.3 peratus tahun ke tahun), kenaikan paling mendadak dalam tempoh 22 bulan.

Bagaimanapun, inflasi harga untuk sektor pertanian susut kepada 5.4 peratus (Mac 2024: 5.5 peratus).

Kos untuk bekalan elektrik, gas dan air naik lebih cepat sebanyak 1.0 peratus, tertinggi dalam tempoh 10 bulan selepas kenaikan yang perlahan sebanyak 0.1 peratus tahun ke tahun pada dua bulan sebelumnya.

“Di peringkat pengeluaran, kos pemprosesan bahan mentah meningkat pada kadar yang sama sebanyak 7.4 peratus seperti pada bulan sebelumnya, masih merupakan bacaan tertinggi sejak Jun 2022.

“Kos untuk memproses bahan perantaraan susut lagi tetapi sedikit kepada 0.1 peratus (Mac 2024: -0.4 peratus tahun ke tahun), deflasi terendah dalam setahun,” katanya.

Kos pemprosesan barang siap melonjak sebanyak 2.4 peratus (Mac 2024: 1.9 peratus), paling mendadak dalam tempoh tujuh bulan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast