Muhyiddin Sian See
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini dimaklumkan penyelesaian secara baik kes saman fitnah antara bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh telah memfailkan saman fitnah dan berjaya mendapatkan perintah injuksi berkaitan kenyataan perintah kuarantin di akaun Facebook milik Puad dua tahun lalu.

Hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Hayatul Akmal Abdul Aziz merekodkan penyelesaian itu dengan beberapa syarat yang tidak didedahkan kepada umum.

Selain itu, Puad juga difahamkan telah membacakan satu kenyataan berkaitan penyelesaian dengan disaksikan oleh Muhyiddin di hadapan Hayatul.

Kedua-dua mereka kemudian berjabat tangan sebagai tanda penyelesaian.

Mohd Puad Zakarshi

Datuk Rosli Dahlan, peguam yang mewakili Muhyiddin memaklumkan Puad akan memberi kenyataan mengenai penyelesaian kes tersebut menerusi Facebook miliknya.

Menurut saman yang difailkan Muhyiddin atas kapasiti peribadi pada tahun 2021, Puad yang dinamakan sebagai defendan tunggal didakwa telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah pada 9 Februari tahun itu.

Kenyataan fitnah dibuat dalam laman Facebooknya di bawah nama ‘DrPuad Zarkashi’ bertajuk ‘Kuarantin pun ada dua darjat?’.

Kenyataan itu antara lain mempersoalkan tempoh kuarantin yang dijalani Muhyiddin selaku plaintif pulang ke tanah air selepas lawatan rasmi ke Indonesia.

Kenyataan itu menggambarkan perdana menteri sebagai tidak mempedulikan arahan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia dan menyalahgunakan kuasanya bagi membolehkan Kabinet yang mengikuti rombongan ke Indonesia termasuk dirinya tidak perlu menjalani kuarantin wajib.

Muhyiddin menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan yang ditentukan oleh mahkamah.

Plaintif turut memohon satu permohonan maaf yang akan diterbitkan di laman Facebook Puad dan juga di semua portal berita dan laman sosial yang telah menerbitkan pernyataan fitnah itu. – MalaysiaGazette