KUALA LUMPUR – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa supaya tidak berlengah-lengah untuk campur tangan susulan pengeboman dilakukan tentera zionis di Rafah hingga mengobankan 40 lagi rakyat Palestin dalam kejadian kelmarin.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Israel tidak boleh hanya diingatkan tentang jenayah perangnya kerana ia tidak menghalang pembunuhan besar-besaran yang telah dan akan dilakukan.
Katanya, pasukan pengaman tentera mesti dikerahkan segera untuk menghentikan pencerobohan biadab oleh tentera pendudukan zionis.
“Pembunuhan beramai-ramai yang baru, menyasarkan kem pelarian di kawasan al-Mawasi, barat Rafah hingga mengakibatkan ramai syuhada yang terkorban dan cedera tidak boleh diterima.
“Gambar ngeri mayat bayi yang hangus dan dipenggal adalah kengerian pembunuhan beramai-ramai yang disaksikan dalam masa nyata.
“Kami terkejut apabila sebelum ini, tentera zionis mengarahkan orang ramai (rakyat Palestin) melarikan diri ke zon ini sebagai “zon selamat” dengan khemah yang diperbuat daripada kepingan plastik akhirnya dibedil.
“Akibat serangan itu, pertahanan awam tidak dapat mengawal kebakaran yang berlaku kerana kekurangan peralatan,:” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, Mohd Azmi menggesa agar tindak balas global segera perlu diambil sebagai tanda bantahan dan kemarahan terhadap pembunuhan beramai-ramai di Gaza itu.
Kelmarin, agensi pertahanan awam Gaza mengumumkan bahawa angka kematian meningkat kepada 40 orang akibat serangan tentera Israel yang membakar khemah penduduk Palestin yang dipindahkan di Rafah.
Serangan Israel itu mencetuskan bantahan kuat dari Mesir, Jordan, Kuwait dan dari Qatar yang memberikan amaran ia boleh menghalang langkah-langkah baharu untuk memulihkan gencatan senjata yang terhenti dan rundingan pembebasan tebusan dalam perang Israel-Hamas yang sedang berlarutan sejak 7 Oktober 2023.
Menurut agensi itu lagi, banyak mayat hangus terbakar dengan anggota badan hancur selepas serangan itu yang memusnahkan pusat perpindahan di barat laut Rafah. – MalaysiaGazette