KUCHING – Rakyat Malaysia yang berhasrat menunaikan ibadah haji diharap tidak terperdaya dengan agensi-agensi tertentu yang mendakwa mampu mengeluarkan visa atau permit haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, ini kerana di Malaysia hanya terdapat dua pihak yang mampu mengeluarkan visa haji iaitu Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.
“Tidak ada badan-badan atau agensi malah badan bukan kerajaan (NGO) lain yang boleh keluarkan visa haji.
“Ini penting untuk dimaklumkan kerana kita tidak mahu ada mana-mana pihak yang betul-betul ingin menunaikan haji ditipu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis meraikan keberangkatan jemaah haji negeri Sarawak di sini, hari ini.
Majlis yang meraikan 142 orang bakal haji itu turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Jaafar.
Sementara itu Mohd Na’im berharap rakyat Malaysia tidak menggunakan visa pelancongan atau umrah untuk menunaikan ibadah haji.
“Kerajaan Arab Saudi akan mengambil tindakan kepada mereka yang melanggar peraturan dan undang-undang ini (tiada visa haji) termasuk dikenakan denda SAR10,000. Mereka juga akan ditahan sementara dan dihantar pulang ke negara asal,” katanya. – BERNAMA