Ismail Man (tengah) menunjukkan barang rampasan memproses air ketum hasil serbuan ke atas sebuah rumah yang tidak berpenghuni di Lipis awal pagi tadi.

LIPIS – Seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan setelah disyaki memproses air ketum di dalam kawasan rumah yang dipenuhi semak samun di Kuala Lipis di sini hari ini.

Ketua Polis Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, lelaki berkenaan ditahan dalam serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis, pukul 12.10 tengah hari.

“Hasil siasatan kita mendapati suspek telah menjalankan aktiviti memproses dan menjual air ketum sejak lima tahun lalu serta pernah ditahan dua kali atas kes yang sama.

”Beberapa rampasan telah dibuat antaranya periuk besar, tong gas  serta dapur yang digunakan untuk merebus air ketum dan tong besar air batu yang digunakan untuk menyimpan bungkusan air ketum.

“Sebanyak 135 bungkus plastik putih air ketum yang sedia untuk dijual turut dirampas,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ismail, suspek juga menggunakan pintu belakang bagi urusan jual beli bagi mengaburi pihak berkuasa.

Kes masih disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan suspek kini telah di reman di lokap IPD Lipis bagi melengkapkan kertas siasatan. – MalaysiaGazette