KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dibenarkan memindahkan kes saman beliau terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Saman ini melibatkan kes ceramah politik Fahmi di sebuah masjid di Rawang tahun lalu.
Hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membenarkan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Sivil (NCvC 12) kerana terdapat dua lagi kes saman Fahmi.
Dua kes saman itu pula terhadap Mohd Fauzan Madzlan dan Ahmad Dusuki Abd Rani yang sudah berada di NCvC 12 ini sekaligus membolehkan semua kes didengar sekali.
Permohonan Fahmi juga tidak mendapat bantahan pihak defenden.
Difahamkan ketiga-tiga kes ini mempunyai asas dan fakta hampir sama selain saksi juga melibatkan pihak sama.
Fahmi telah memfailkan saman terhadap Wan Azri, penceramah bebas Ahmad Dusuki dan Mohd Fauzan yang didakwa telah melemparkan fitnah terhadap Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.
Dalam tuntutan itu, Fahmi mendakwa ketiga-tiga mereka telah menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa beliau menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya.
Fahmi juga didakwa telah melakukan perkara bertentangan dengan titah dan perintah Sultan Selangor. -MalaysiaGazette