Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. Foto SYADILA AMARI, 26 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan hari ini pihaknya telah menerima satu laporan berkenaan dakwaan sekumpulan jemaah haji dari Malaysia terkandas di Mekah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, laporan polis itu dibuat di Negeri Sembilan dan Bukit Aman akan menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat kes tersebut.

“Siasatan awal setakat ini oleh polis mendapati isu dalam kes tersebut adalah menjurus kepada bidang kuasa siasatan Lembaga Tabung Haji.

“Bagaimanapun,sebagai tindakan proaktif dalam menangani isu sebegini, JSJK menubuhkan Pasukan Petugas Khas yang berperanan untuk melaksanakan siasatan dan tindakan awal terhadap sebarang aduan berkaitan Jemaah Haji yang terkandas itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Ramli, pasukan berkenaan bakal bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan yang akan memastikan tindakan selanjutnya diambil berpandukan peruntukan undang-undang  dengan kesalahan yang dikesan.

“Untuk rekod, PDRM, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Lembaga Tabung Haji masing-masing mempunyai undang-undang berbeza bagi menangani isu-isu sebegini sesuai dengan jenis kesalahan yang berlaku.

“Malah Pasukan Petugas Khas ini diwujudkan bertujuan untuk memastikan sebarang aduan berkaitan isu Jemaah Haji terkandas ini ditangani secara efektif dan berkesan,” kata beliau.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast