KUALA LUMPUR – Peniaga menjangkakan persekitaran perniagaan yang menggalakkan pada suku kedua 2024 disokong oleh petunjuk keyakinan yang positif marginal +0.7 peratus berbanding +4.2 peratus pada suku sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi perniagaan sektor Industri terus optimis dengan petunjuk keyakinan sebanyak +5.3 peratus bagi suku yang sama berbanding +0.6 peratus pada suku pertama 2024.

Perspektif yang bertambah baik dalam sektor industri dipengaruhi oleh tiga subsektor perlombongan, pembuatan, dan elektrik & air, yang menjangkakan keadaan perniagaan yang menggalakkan pada suku rujukan.

Walau bagaimanapun, sektor pembinaan, perdagangan borong & runcit dan perkhidmatan meramalkan keadaan perniagaan yang mencabar pada suku kedua 2024.

Keyakinan perniagaan bagi sektor pembinaan menurun dengan petunjuk keyakinan mencatatkan -14.8 peratus pada suku rujukan.

Sementara itu, sektor perdagangan borong & runcit dan perkhidmatan bertukar pesimis pada suku yang sama.

Responden bagi sektor perdagangan borong & runcit menjangkakan prospek perniagaan yang kurang memberangsangkan dengan petunjuk keyakinan sebanyak -4.1 peratus pada suku kedua 2024 berbanding +4.7 peratus pada suku sebelumnya.

Sektor perkhidmatan juga meramalkan keadaan perniagaan yang kurang mengalakkan pada suku kedua 2024 dengan petunjuk keyakinan merekodkan -0.9 peratus berbanding +8.6 peritus yang dicatatkan sebelumnya.

Melihat ke hadapan, prospek perniagaan bagi tempoh April hingga September 2024 kekal rancak dengan imbangan bersih +14.9 peratus berbanding +10.0 peratus yang dicatatkan sebelumnya.

Semua sektor mencatatkan nilai positif kecuali perdagangan borong & runcit, malah sentimen dalam sektor industri menunjukkan prospek perniagaan yang lebih cerah, dengan imbangan bersih meningkat +19.0 peratus berbanding 0 peratus yang dicatatkan sebelum ini.

Untuk enam bulan akan datang, sektor perkhidmatan meramalkan persekitaran perniagaan yang positif dengan imbangan bersih +9.5 peratus berbanding +24.0 peratus pada suku pertama 2024.

Sektor pembinaan juga mengharapkan prospek perniagaan yang optimistik, dengan imbangan bersih +3.7 peratus bagi tempoh yang akan datang.

Perdagangan borong & runcit menjangkakan prospek perniagaan yang mencabar untuk enam bulan seterusnya, dengan imbangan bersih −1.5 peratus berbanding +15.1 peratus sebelum ini.

Namun, subsektor perdagangan borong mengekalkan trajektori positif dengan merekodkan +2.2 peratus berbanding +17.0 peratus yang dicatatkan sebelumnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast