KUALA LUMPUR – Kontroversi syarikat dana terbesar dunia Blackrock yang berpusat di Amerika Syarikat (AS) dalam proses mengambil alih Global Infrastructure Partners (GIP) dan akan membeli sebahagian saham dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) perlu dinoktahkan.
Ini kerana, GIP yang merupakan konglomerat infrastruktur gergasi dunia dengan aset lebih AS$10 trilion terlibat dalam industri menjual senjata kepada Israel hingga menjadi kegusaran pelbagai pihak apabila diumum terlibat untuk memiliki saham dalam MAHB yang bakal diswastakan, kata Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid.
Beliau berkata, kerajaan harus mempertimbangkan semula untuk membenarkan saham MAHB dimililki oleh dana asing yang terlibat dengan Israel.
“Kini isu keganasan Israel di Gaza sangat hangat menjadi fokus dunia. Sebarang syarikat yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan Israel yang dilihat bersekongkol dengan genosid oleh Israel, sedapat mungkin harus dielak dari terlibat dalam perdagangan dengan Malaysia.
“Malah, kini tindakan untuk mengenakan sekatan ke atas Israel sedang dipertimbangkan oleh beberapa negara. Sehingga ini pengambilalihan GIP oleh Blackrock belum muktamad. Namun untuk tidak terlibat dalam sebarang transaksi yang dihubungkan dengan kepentingan Israel, lebih baik penawaran saham MAHB kepada GIP tidak diteruskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu Mohd Azmi mengesyorkan agar entiti lain yang tidak melibatkan hubungan dengan Israel diusahakan.
Ujarnya, pengurusan MAHB kini masih dilihat antara yang terbaik di dunia dan disebabkan itu pengalaman dan kepakaran pengurusan MAHB yang sedia ada boleh dipertingkatkan dengan membuat perkongsian pintar strategik dengan industri aviasi dunia.
“Kami yakin ada sumber lain yang mempunyai kepakaran mengendalikan MAHB secara kompetitif boleh dicari sebagai alternatif.
“Kami menyambut baik pengumuman Khazanah tidak akan melakukan pelepasan atau pembuangan pekerja apabila pengswastaan MAHB diteruskan.
“Kami berpendapat lapangan terbang adalah pintu masuk strategik yang perlu dipastikan 100 % dalam tangan Malaysia. Keadaan masa depan dunia yang belum tentu stabil memerlukan pintu masuk ke dalam negara tidak dikompromi dengan perhitungan komersial semata-mata,” tambahnya. – MalaysiaGazette