Kaabah
Gambar Hiasan

MEKAH – Seorang jemaah haji lelaki berusia 58 tahun dari Alor Setar, Kedah meninggal dunia di Makkah akibat serangan sakit jantung pada Rabu lepas.

Ketua Rombongan Haji Malaysia 1445H/2024, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, semasa kejadian, Allahyarham Mohd Zahir Ismail dari Maktab 78 dilaporkan dalam keadaan berihram dan  sedang menunaikan tawaf umrah pertama bersama-sama isteri dan jemaah dari maktab sama sebelum rebah di mataf (kawasan tawaf di sekitar Kaabah).

“Allahyarham adalah daripada penerbangan KT66 yang baru sampai di Makkah pada 29 Mei dan pada waktu malam selepas Isyak, kita anjurkan mereka semua laksanakan umrah pertama.

“Namun beliau tiba-tiba telah jatuh akibat serangan jantung di tempat tawaf,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) di sini hari ini.

Beliau berkata, Allahyarham kemudian dikejarkan ke kinik yang terletak di Masjidil Haram sebelum dibawa ke Hospital Arab Saudi untuk mendapatkan rawatan lanjut, namun disahkan telah meninggal dunia.

Jenazah kemudian disolatkan selepas waktu Zohor di Masjidil Haram semalam, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Syaraiee, Makkah pada petang hari sama.

Syed Saleh berkata, petugas kebajikan TH, kaunselor serta pembimbing ibadat dan pakar rujuk juga telah menziarahi isteri Allahyarham bagi memberi bantuan sewajarnya.

“Bagi pihak TH, saya ingin mengucapkan takziah kepada waris jemaah dan kami mendoakan agar segala amal ibadatnya diterima Allah SWT,” katanya.

Pada 24 Mei lepas, seorang jemaah haji lelaki berusia 72, dari Kubang Pasu, Kedah meninggal dunia di sebuah hospital di Makkah akibat pembuluh darah pecah. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast